TIGA kem latihan pusat akan menanti para pemain skuad B-16 tahun kebangsaan sebagai persiapan menghadapi Kelayakan Piala Asia B-17 2025 yang berlangsung di Laos pada Oktober.

Perkara ini disahkan sendiri oleh Pengurus Pasukan, Christopher Raj ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus pulang dari Surakarta selepas mengharungi kempen Kejuaraan Asean B-16 2024.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa buah negara untuk mengadakan perlawanan ujian sebagai persiapan akhir dalam misi layak ke Piala Asia seperti dua skuad senior sebelum ini.

Pengurus Skuad B-16 tahun kebangsaan, Christopher Raj

“Kita akan adakan tiga kem latihan pusat pada bulan Ogos di Akademi Mokhtar Dahari (AMD), September di Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Oktober di Kelana Jaya sebagai persiapan selepas pemain menamatkan tugasan bersama kelab masing-masing dalam kejohanan Piala Belia.

“FAM telah menghantar surat kepada FA Oman, Guam, Singapura dan Tajikistan untuk mengadakan perlawanan ujian kerana keempat-empat pasukan ini akan beraksi di Singapura dan kita jemput mereka untuk mengadakan perlawanan ujian di Johor Bahru sebelum kita berlepas ke Vientiane pada 16 Oktober,” katanya.

Skuad negara gagal layak ke separuh akhir Kejuaraan Asean selepas sekadar menduduki tempat ketiga Kumpulan C yang dilabel kumpulan maut, namun ianya memberikan banyak perkara positif terhadap pasukan dan barisan kejurulatihan.

Skuad B-16 tahun kebangsaan

“Kejohanan ini memberi satu perspektif menyeluruh kepada barisan kejurulatihan dan pengurusan. Keserasian pemain, komunikasi dan cara mereka bermain sangat positif dan ianya tidak membimbangkan kerana mereka sudah didedahkan dengan perlawanan intensiti tinggi dan apa yang diperlukan pada perlawanan seperti ini.

“Kami berpuas hati kerana telah diundi bertemu Australia yang memberikan saingan sengit ditambah dengan fizikal mereka yang lebih besar berbanding jika diundi bertemu Brunei dan Singapura yang mungkin akan memberikan gambaran tidak tepat terhadap prestasi pasukan,” jelasnya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan H Kelayakan Piala Asia B-17 2025 bersama-sama tuan rumah, Laos, Lebanon dan Emiriah Arab Bersatu di mana 10 juara kumpulan dan lima pasukan tempat kedua terbaik akan layak pertandingan akhir di Arab Saudi.