BANDARAYA Paris sudah tidak asing di kalangan rakyat Malaysia terutama para pelancong yang sering mengimpikan untuk merasai kehebatan ibu kota Perancis yang sering dikaitkan dengan cinta itu.
Kini Paris akan menjadi tumpuan dunia apabila bakal menjadi tuan rumah untuk Temasya Sukan Olimpik 2024 dan pihak berkuasa tempatan dengan bijak akan menggunakan lokasi-lokasi ikonik dan terkenal yang dirubah menjadi venue untuk beberapa acara dilangsungkan.
Ianya bukan sahaja efektif dari segi kos tetapi juga akan memberikan peminat sukan satu pemandangan dan pengalaman yang tidak dapat dilupakan ketika memberikan sokongan kepada temasya yang dilangsungkan setiap empat tahun itu.
Antara lokasi ikonik yang bakal menjadi venue Sukan Olimpik adalah Menara Eiffel yang sudah pasti akan memberikan dimensi baharu dalam Sukan Olimpik berlatar belakangkan sebuah bangunan yang cukup dikenali di seluruh dunia.
Peminat bola tampar pantai akan merasai pengalaman menonton sukan di satu venue yang cukup cantik apabila acara itu akan dilangsungkan di venue sementara berkapasiti 12,000 penonton di kaki Menara Eiffel.
Tambah menarik, ada bahagian daripada menara itu telah dicairkan untuk dijadikan pingat Olimpik. Setiap pingat dikhabarkan mengandungi 18 gram dari bahagian besi Menara Eiffel.
Grand Palais, satu lagi destinasi wajib para pengunjung ke Paris kini diubah menjadi gelanggang bagi acara lawan pedang dan taekwondo yang akan berlangsung di bawah bumbung berkaca yang pastinya menjadi satu venue yang cantik dan meninggalkan pengalaman berharga buat para penyokong.
Kunjungan ke Paris tidak akan lengkap sekiranya tidak melawat Palace of Versailles, istana lama Kesultanan Perancis ketika pemerintahan Raja Louis XVI dan Permaisuri Marie Antoinette yang kini berubah wajah menjadi venue bagi Sukan Olimpik.
Acara berkuda seperti dressage, eventing dan show jumping serta pentathlon moden akan mengambil tempat di arena sementara ini dan ianya akan menjadi satu lagi mercu tanda dan standard baharu penganjuran Sukan Olimpik.
Sukan Olimpik Paris 2024 akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos 2024 dengan 206 negara akan mengambil bahagian dalam 32 sukan yang melibatkan 329 acara.