PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio mengakui kemenangan 3-0 keatas Selangor FC di Stadium MBPJ adalah penting untuk menjarakkan mata dalam saingan liga namun masih terlalu awal buat mereka memikirkan kejuaraan.
Dia turut gembira dengan kemenangan kedua keatas Selangor musim ini dan mendedikasikan kemenangan ini kepada para penyokong yang hadir serta memuji barisan pemainnya yang sentiasa berdisipin dan bertambah baik dalam setiap perlawanan.
“Saya gembira dan berikan kemenangan ini buat penyokong yang hadir. Tiga mata ini penting untuk kejuaraan dan kami bermain baik pada babak pertama dengan menggerakkan bola di seluruh padang dan pada separuh masa kedua kami sedikit mengendurkan permainan untuk membawa pulang tiga mata.
“Kami hanya fokus kepada pasukan kami sahaja kerana saingan semakin sengit dalam pelbagai kejohanan yang disertai dan kami perlu pastikan pasukan sentiasa lakukan perubahan dari permainan ke permainan,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.
Bidoglio juga mahu menggunakan keseluruhan pemain dan mengambil kesempatan kepada ‘squad depth’ yang ada pada mereka untuk memilih pemain yang tepat pada setiap perlawanan kerana berdepan dengan jadual yang padat.
“Jika dilihat dari awal musim, kami bertambah baik dalam setiap perlawanan tetapi kami perlu terus bekerja keras dan perbaiki cara permainan sepasukan kerana kami mempunyai jadual yang padat dan perlu memilih pemain pada perlawanan yang tepat.
“Semua permainan sukar buat kami dan kejuaraan masih jauh. Pusingan kedua baharu sahaja bermula dan masih banyak yang perlu diperbaiki untuk menghadapi musim yang masih panjang,” jelasnya.
Dua gol daripada Bergson Da Silva dan satu dari Romel Morales cukup untuk memberikan tiga mata dan JDT melebarkan jarak mata kepada lapan di tangga teratas liga dengan mempunyai kelebihan satu perlawanan.