PERTAHANAN skuad B-23 tahun kebangsaan, Harith Haiqal menegaskan tiga mata ketika menentang Bangladesh dalam aksi pertama kempen Kelayakan Piala Asia AFC B-23 di Chonburi, Thailand pada Rabu.

Dia juga yakin dengan kemampuan rakan-rakan sepasukannya dan mahu memastikan skuad kebangsaan layak ke peringkat kumpulan Piala Asia AFC B-23 meskipun sedar kekuatan Thailand yang mungkin menjadi penghalang.

“Persiapan berjalan dengan lancar dan jurulatih telah mempersiapkan pasukan yang mana kami harap semuanya akan berjalan lancar menjelang perlawanan pertama menentang Bangladesh.

“Tekanan itu sentiasa ada dalam setiap perlawanan dan pemain perlu bijak menangani setiap tekanan. Bagi saya tekanan sebenar adalah ketika bertemu Bangladesh kerana kemenangan pertama itu penting untuk meningkatkan keyakinan kami sebagai satu pasukan.

“Tidak banyak muka baru dalam pasukan dan keserasian tidak menjadi masalah dan pemain baharu juga menunjukkan peningkatan dan semua dalam pasukan ini adalah yang terbaik dan tidak mengambil mudah pasukan lawan,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Harith juga percaya mereka sudah mengenalpasti kelemahan yang ada selepas kegagalan di Sukan Sea dan Piala AFF sebelum ini dan mahu beraksi lebih agresif untuk mencapai sasaran layak ke pusingan akhir.

“Kami akan menjadi lebih agresif dan meletakkan sasaran untuk layak ke pusingan akhir. Kami ada masalah apabila bertemu pasukan Vietnam dan Thailand tetapi kami sudah kenal pasti kelemahan yang ada,” tambahnya.

Malaysia diundi dalam Kumpulan H bersama-sama Bangladesh, Filipina dan tuan rumah Thailand dengan juara kumpulan akan layak ke Piala Asia AFC B-23 2024 di Qatar.