MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menjelaskan setakat ini hanya tiga kerajaan negeri sahaja yang telah memberikan maklum balas untuk memohon geran Penambahbaikan Saliran dan Penanaman Rumput yang disediakan KBS bernilai RM500,000.

Tiga negeri tersebut adalah Negeri Sembilan, Perak dan Terengganu dan Hannah menggesa kerajaan negeri yang lain turut berbuat demikian bagi memastikan keadaan padang sentiasa dalam keadaan yang baik.

“Setakat ini saya tahu tiga negeri telah bagi maklum balas kepada kita iaitu Negeri Sembilan, Terengganu dan yang terkini adalah Perak.

“Tetapi kita menggesa kerajaan negeri yang belum memberi maklum balas kepada kita untuk segera melakukannya kerana liga akan bermula dan kita akan berbincang dengan MFL.

“Duit kita dah sedia tetapi kita nak pastikan sebelum kita turunkan duit itu, duit itu betul-betul sampai kepada matlamat kita iaitu untuk naik taraf sistem saliran padang yang dipilih dan yang keduanya adalah untuk menggantikan rumput yang sesuai supaya liga boleh berjalan dalam musim hujan,” jelasnya.

Maklum balas daripada kerajaan Negeri Terengganu yang turut sama memohon geran itu mengejutkan Hannah kerana Terengganu telah memiliki padang yang berkualiti di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang menjadi gelanggang rasmi bagi Terengganu FC.

Secara pecahannya, geran oleh KBS itu memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk naik taraf sistem saliran dan RM200,000 bagi penukaran rumput dimana jenis rumput itu terserah kepada kerajaan negeri atau pihak pengurusan stadium untuk menentukannya.

Untuk makluman, KBS menawarkan geran sebanyak RM500,00 itu bagi membantu menyelesaikan isu padang yang kurang baik di stadium-stadium seluruh Malaysia selain mengelak penundaan perlawanan dalam saingan liga akibat hujan lebat.

Sementara itu, DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) turut berkenaan menyumbang sebanyak RM300,000 untuk penyelenggaraan padang bagi tahun pertama kepada setiap kelab yang menaik taraf padang menerusi geran itu.