TIGA pemain wanita kebangsaan yang akan menyertai Liga Hoki Premier Scotland 2024 digesa menggunakan peluang beraksi bersama kelab Eropah sebagai batu loncatan untuk meningkatkan mutu permainan mereka.

Jurulatih wanita kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim berkata, Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin, Nurul Fatin Fatiah Azman dan Nur Afiqah Syahzani Azhar diyakini mampu memberi impak dalam liga Scotland itu.

“Kami di barisan kejurulatihan wanita kebangsaan berharap mereka akan menggunakan peluang keemasan ini dengan sebaiknya bagi membantu meningkatkan lagi tahap permainan hoki mereka sendiri selain mengutip seberapa banyak pengalaman berguna beraksi dengan pemain Eropah.

“Pasukan hoki wanita Scotland antara pasukan yang terkuat di Eropah dan tentunya semua ilmu yang akan mereka bawa pulang ke Malaysia nanti akan menjadi ilmu yang sangat berguna untuk dikongsikan bersama rakan sepasukan yang lain.

“Kami barisan kejurulatihan juga percaya pengalaman mereka ini akan memberikan impak positif untuk pasukan kerana tempo permainan dan tahap hoki pasukan di Eropah adalah amat tinggi dan harapan kami tentunya mahukan mereka menterjemahkan semua ilmu yang mereka perolehi bersama pasukan kebangsaan,” kata Nasihin.

Tiga pemain wanita negara dijadual berlepas ke Scotland hari ini, sebelum kembali ke tanah air pada 3 November bagi membantu pasukan wanita kebangsaan di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia (wanita) 2024.

Siri Jelajah Cardiff yang disertai skuad kebangsaan baru-baru ini membuka peluang buat tiga pemain ini, apabila bakat mereka berjaya menambat hati jurulatih kelab hoki Uddingston yang turut berada di Cardiff bagi menyaksikan perlawanan antara Malaysia dan Wales.

Liga Hoki Premier Scotland dijadual berlangsung dari 15 September hingga 16 November.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama pemain wanita kebangsaan berjaya menambat hati jurulatih luar negara untuk beraksi di liga mereka.

Sebelum ini, pemain kebangsaan seperti Farah Ayuni Yahya, Nuraini Abdul Rashid, Fatin Shafika Mohd Sukri, Wan Norfaiezah Md Saiuti, Hanis Nadiah Onn, Julaini Mohamad Din, Nuramirah Shakirah Zulkifli dan Nur Maziatulhanim Syafi Sheik Fuad, pernah beraksi di liga antarabangsa.