KEMPEN pramusim Terengganu FC kini menjadi lebih menarik apabila tiga pemain kebangsaan – Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Suhaimi Husin kembali menyertai latihan dan bersedia memberikan saingan.
Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berkata kini pasukannya berada di Lembah Klang untuk tiga aksi persahabatan menentang Selangor 2, PDRM FC dan Negeri Sembilan FC akan menggunakan aksi ini untuk mencari keserasian di kalangan pemain.
“Tiga orang pemain kebangsaan iaitu Safawi, Akhyar dan juga Suhaimi akan kembali bersama pasukan untuk 3 aksi perlawanan persahabatan ini menentang Selangor 2, PDRM FC dan Negeri Sembilan FC.
“Pada ketika ini, menguji kecergasan setiap pemain serta kefahaman taktikal adalah menjadi keutamaan untuk memastikan keserasian dapat diterjemahkan. Keputusan perlawanan juga penting untuk membina motivasi buat para pemain,” katanya dalam satu kenyataan media.
Namun begitu, Tomislav terpaksa mengenepikan dua tonggak – Azam Azmi Murad dan Ivan Mamut yang mengalami kecederaan namun ianya tidak begitu menjejaskan persiapan pasukan ketika ini.
“Dua lagi pemain utama pasukan iaitu Azam Azmi dan Ivan Mamut tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan. Azam dilihat memerlukan masa yang agak panjang untuk kembali sembuh manakala Ivan pula dijangka akan dapat kembali bersama pasukan tidak lama lagi,” jelasnya.
Selepas berakhir kempen pramusim di Lembah Klang, Terengganu akan menganjurkan satu kejohanan empat penjuru bersama-sama Penang FC, Kedah Darul Aman FC dan Terengganu FC II sebagai persediaan menghadapi kempen Liga Malaysia 2024-2025.