TIGA pemanah wanita negara, menjadi yang pertama memulakan kempen Sukan Olimpik Paris 2024, apabila dijadual beraksi pada penentuan ranking, di Esplanade de Invalides.

Ariana Nur Dania Mohamad Zairi, Nurul Azreena Mohamad Fazil dan Syaqiera Mashayikh dijadual turun beraksi dalam saingan penentuan ranking individu.

Mereka dijadual beraksi pada jam 3.30 petang waktu Malaysia dan bidikan Ariana, Nurul Azreena dan Syaqiera itu bakal menentukan hala tuju mereka dalam acara individu serta berpasukan.

Skuad memanah wanita mencipta sejarah kali pertama layak ke Sukan Olimpik dalam acara berpasukan. | FOTO World Archery

Sebelum ini, Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) menetapkan sasaran untuk pemanah negara melayakkan diri ke suku akhir.

Ketua jurulatih memanah kebangsaan, Lee Jae Hyung mahu ketiga-tiga pemanah negara itu menjalin komunikasi yang baik bagi membentuk persefahaman dalam kedua-dua acara.

“Saya cuba bantu mereka supaya dapat mempersembahkan prestasi terbaik. Buat masa ini, sukar untuk jangka, bagaimana permainan mereka nanti kerana tidak pernah menyertai kejohanan besar termasuk kejohanan dunia,” kata Jae Hyung.

Daripada tiga pemanah itu, hanya Syaqiera yang berpengalaman beraksi di pentas Olimpik iaitu di Tokyo 2020 dalam acara individu dan berpasukan campuran bersama Khairul Anuar Mohamad.

Ariana menjadi pemanah terbaik negara ketika ini. | FOTO World Archery

“Begitupun, permainan mereka sentiasa meningkat, baik dalam latihan mahu pun dalam kejohanan sebelum ini. Apapun, Olimpik sedikit berbeza, sama ada mereka mampu bertahan atau tidak.

“Saya minta supaya mereka lebihkan komunikasi, berbincang dengan saya. Memang dalam kedudukan ketika ini, Ariana paling tinggi (pungutan mata), tetapi kita tak mahu ada yang tinggi ada yang rendah, kerana ia memberi kesan dalam saingan berpasukan,” katanya.

Bulan lalu, Ariana, Nurul Azreena dan Syaqiera menempa sejarah apabila muncul sebagai pasukan recurve wanita negara julung kali layak ke Sukan Olimpik selepas mara ke final kejohanan Kelayakan Olimpik Akhir ArcheryInParis di Antalya, Turkiye.

Terdahulu, Ariana Nur Dania meraih tiket ke Paris 2024 dalam recurve individu wanita selepas memenangi pingat emas Kejohanan Kelayakan Benua Asia di Bangkok, November tahun lalu.