PENGADIL-pengadil Malaysia membuktikan mereka mampu menggalas tugasan di peringkat antarabangsa apabila diumumkan antara 33 pengadil dan 37 pembantu pengadil bagi mengadili Kejohanan Piala Asia 2023 di Qatar pada Januari 2024.

Menerusi senarai yang dikeluarkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), seorang pengadil, dua pembantu pengadil dan seorang pakar teknikal pengadil Malaysia telah dilantik dan bakal menjalankan tugas di kejohanan terbesar bola sepak Asia.

Nazmi Nasaruddin telah dipilih sebagai pengadil utama dan dia bukanlah nama baharu dalam bidang pengadilan antarabangsa kerana sering dipilih oleh AFC untuk mengadili perlawanan melibatkan negara dan kelab dalam pelbagai peringkat umur.

Nazmi yang berusia 33 tahun itu juga adalah antara pengadil yang berpengalaman di peringkat domestik dengan pernah mengadili pelbagai perlawanan akhir sama ada Piala FA atau Piala Malaysia.

Sementara itu, Zairul Khalil Tan dan Arif Shamil Abdul Rashid pula telah dipilih sebagai pembantu pengadil yang melengkapkan trio pengadil dari Malaysia yang berpeluang mengadili salah satu dari 51 perlawanan yang dijadualkan dari 12 Januari hingga 10 Februari 2024.

Bekas pengadil berpengalaman negara yang pernah menjadi pengadil di Piala Dunia, Subkhiddin Mohd Salleh pula dilantik sebagai salah seorang dari 10 pakar teknikal pengadil yang akan menjadi penasihat dan pemerhati untuk kesemua pengadil yang bertugas.

Pemilihan ini menyaksikan Malaysia di bawah unit pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berjaya menaikkan mutu pengadil tempatan dan usaha ini akan bertambah baik apabila FAM akan memperkenalkan sistem video bantuan pengadil (VAR) dalam Liga Malaysia bermula tahun hadapan.

VAR juga akan digunakan untuk semua perlawanan Piala Asia kali ini berbanding hanya bermula di peringkat suku akhir pada kejohanan sebelum ini di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2019.