PENGENDALI Negeri Sembilan FC, K.Devan nyata berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan para pemainnya apabila meraih kemenangan dan juga berjaya mengekalkan ‘clean sheet‘ di tempat lawan selepas menundukkan PJ City 2-0 dalam aksi di Stadium MBPJ Kelana Jaya.

Dia turut menyatakan bahawa objektif Negeri Sembilan FC sekarang bukanlah untuk merebut tiga tempat teratas Liga Super tetapi akan melihat kepada dua tiga perlawanan selepas ini terlebih dahulu.

Devan turut memuji barisan pemain simpanannya yang berjaya mengubah corak permainan selepas Skuad Jang gagal memberikan aksi seperti yang sering ditonjolkan.

“Tiga mata di tempat lawan beserta ‘clean sheet‘ adalah satu keputusan yang boleh dibanggakan meskipun kami gagal bermain baik pada babak pertama tetapi berjaya mengambil kesempatan atas kesilapan pertahanan PJ City.

“Pemain-pemain simpanan yang dibawa masuk banyak mengubah rentak permainan terutama pada babak kedua dan kami berjaya mengawal perlawanan selepas kemasukan mereka dan saya berpuas hati dengan aksi yang ditunjukkan.

“Buat masa ini tiga tempat teratas bukanlah objektif utama kami. Kami akan melihat dua dan tiga perlawanan selepas ini sebelum menentukan kedudukan kami dalam liga.

“Kami akan mengambil satu perlawanan ke perlawanan untuk mendapatkan keputusan positif,” jelas Devan ketika sidang media.

Negeri Sembilan FC yang layak ke Liga Super musim ini kini menduduki tempat ketiga dengan 32 mata hasil 16 perlawanan dan akan menentang finalis Piala AFC Zon ASEAN, Kuala Lumpur City FC di Cheras pada Khamis nanti.