TIGA wakil skuasy negara tumpas ke tangan lawan masing-masing ketika bertemu di pusingan suku akhir Terbuka Australia semalam.
Rachel Arnold, Aira Azman dan Yiwen Chen bertemu dengan pemain-pemain pilihan kejohanan itu, memberi pertarungan yang baik sebelum kalah kepada lawan masing-masing.
Arnold yang juga merupakan pilihan ketiga kejohanan tumpas kepada tangan pemain Mesir, Sana Ibrahim dengan empat set iaitu 7-11, 11-7, 3-11 dan 5-11.
Aira pula tumpas kepada pemain nombor 11 dunia, Salma Hany dengan keputusan 8-11, 5-11 dan 6-11 manakala hari malang buat skuasy Malaysia berakhir dengan sorang lagi wakil Malaysia, Yiwen Chen dikalahkan oleh pemain Hong Kong, Tomato Ho dengan keputusan 11-5, 3-11, 6-11 dan 4-11.
Satu lagi perlawanan suku akhir dimenangi oleh Amina Orfi dari Mesir apabila menumpaskan wakil Perancis, Marie Stephan dengan keputusan 11-6, 11-6 dan 11-6.
Pusingan separuh akhir Terbuka Australia akan dijalankan hari ini dengan pertemuan antara dua pemain Mesir iaitu Salmy Hany dan Sana Ibrahim manakala satu lagi perlawanan melibatkan Tomato Ho dan Amina Orfi.