TIKET-TIKET untuk menyaksikan dua perlawanan persahabatan antarabangsa skuad Harimau Malaya menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea sudah mula dijual menerusi dalam talian bermula 1 Jun 2023.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman sosial rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hanya dua kategori tiket yang dijual iaitu tiket dewasa dan kanak-kanak untuk kategori tempat duduk terbuka sahaja.

Tiket-tiket yang dijual dengan harga RM30 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak boleh didapati di laman www.tickethotline.com.my dan tidak ada tiket fizikal yang akan dijual di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menjelang dan semasa hari perlawanan.

 

Para penonton yang hadir ke stadium juga boleh mengambil kesempatan berkunjung ke Festival Harimau Malaya 2023 yang julung kali diadakan oleh Fit Malaysia bermula dari 14 hingga 20 Jun dengan pelbagai aktiviti menarik telah dirancang pihak penganjur.

Tahun 2023 menyaksikan Harimau Malaya tidak dapat beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas venue itu ditutup untuk dibaikpulih dan skuad kebangsaan menggunakan venue lain sebagai gelanggang rasmi dengan Iskandar Puteri dan Gong Badak telah dipilih untuk kalendar antarabangsa Fifa bulan Mac dan Jun.

 

Pada Mac lalu, dua aksi Harimau Malaya menentang Turkmenistan dan Hong Kong telah berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dengan 5,104 dan 4,593 penyokong hadir pada kedua-dua perlawanan yang berlangsung pada bulan Ramadan.

Kini peluang untuk warga Terengganu pula untuk hadir dan membanjiri stadium bersama-sama Ultras Malaya bagi memberikan sokongan kepada skuad kendalian Kim Pan-gon sebagai ekor harimau sejati.