TIKET aksi perlawanan persahabatan Indonesia melawan juara dunia, Argentina laris terjual bagai pisang goreng.

Malah, menerusi akaun Instagram Ketua Umum Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) Erick Thohir dan PSSI memaparkan maklumat jualan tiket pertembungan kedua-dua pada hari pertama habis dijual.

Menurut PSSI, tiket hari perlawanan Fifa habis dijual 15 minit selepas jualan bermula.

“Penjualan tiket FIFA Match Day: Indonesia vs Argentina pada hari pertama khusus untuk pelanggan BRI telah habis dalam masa 15 minit. Terima kasih banyak-banyak atas semangat yang diberikan, rakan-rakan Garuda,” tulis kenyataan yang dimuatnaik bersama PSSI dan Erick pada Isnin.

Penjualan tiket Indonesia dan Argentina kepada peminat umum akan dibuka pada Selasa dan Rabu melalui laman web rasmi PSSI dan Tiket.com.

Skuad Garuda akan menentang La Albiceleste di Stadium Utama Bung Karno, Jakarta, pada 19 Jun depan. Lima hari sebelum itu, Indonesia akan bertemu Palestin di Stadium Bung Tomo, Surabaya.

Sementara itu, Argentina akan menentang Australia terlebih dahulu di China pada 15 Jun 2023. Argentina telah memasukkan senarai nama pemain yang dibawa oleh jurulatih Lionel Scaloni.

Barisan pemain seperti Lionel Messi, Angel Di Maria, dan Nicolas Otamendi termasuk dalam senarai yang dibawa dalam jelajah Asia.