JUALAN tiket ke Grand Prix MotoGP Malaysia Petronas yang pada mulanya dikhabarkan perlahan kini semakin laris dan hanya tinggal berbaki beberapa peratus sahaja lagi dua minggu menjelang perlumbaan terbesar motorsikal dunia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Promosi berterusan yang dilakukan penganjur serta penaja utama Petronas selain perebutan kejuaraan yang sengit menjadi antara faktor Grand Prix MotoGP Malaysia Petronas kembali mendapat sambutan menggalakkan dari peminat sukan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Azhan Shafriman Hanif ketika ditemui secara eksklusif oleh FLASH SUKAN nyata teruja dengan perkembangan ini dengan pihak penganjur sudah bersedia untuk menganjurkan kembali perlumbaan ini selepas dua tahun dibatalkan ekoran penularan pandemik Covid-19.
Tickets Update:
🟠 Main Grandstand – Selling Fast 🟠15 Days to go till #MalaysianGP2022
Get your PETRONAS GRAND PRIX OF MALAYSIA 2022 🇲🇾 tickets now!
Click link in bio#PETRONASGP2022 | #WelcomeHome | #MalaysianGP2022 | #SepangCircuit | #SIC | #MotoGP pic.twitter.com/URHCMBPGw2
— Sepang Circuit (@sepangcircuit) October 5, 2022
“Segala persiapan berjalan dengan lancar. Kami tidak sabar untuk menyambut semula pelumba, pasukan dan juga peminat ke Litar Antarabangsa Sepang dan jualan tiket kini melonjak dan hanya berbaki beberapa peratus sahaja.
“Kami gembira dengan perkembangan ini yang dibantu oleh promosi yang aggresif dan juga berkemungkinan juara keseluruhan MotoGP akan ditabalkan di Litar Antarabangsa Sepang. Ini menjadi faktor utama peningkatan jualan tiket,” katanya ketika ditemui di Ekspo Industri Sukan di Bukit Jalil.
Perlumbaan MotoGP Malaysia mencatatkan rekod kehadiran tertinggi pada 2019 dengan 170,000 penonton dan SIC percaya dapat mengatasi rekod ini pada perlumbaan kedua terakhir dalam kalendar MotoGP musim 2022 ini.
Dengan enam pelumba yang masih boleh bergelar juara pada musim ini secara matematik, Litar Antarabangsa Sepang bakal menjadi penentu kejuaraan dengan penyandang juara, Fabio Quartararo disaingi hebat pelumba Ducati, Francesco Bagnaia dari Itali.
Perlumbaan Grand Prix Australia pada 16 Oktober nanti bakal menjadi penentu siapakah yang bakal hadir ke Sepang dengan kelebihan untuk bergelar juara dunia dan ini pastinya akan menambah keterujuaan para peminat motorsikal tempatan dan antarabangsa.
Grand Prix MotoGP Malaysia Petronas akan berlangsung dari 21 hingga 23 Oktober 2022 dengan tema ‘Welcome Home’ selepas dua tahun tidak dapat dianjurkan dengan pelumba tempatan, Damok bakal bersaing di perlumbaan Moto3 atas tiket Wild Card.