PENJUALAN tiket bagi kejohanan Piala Sultan Selangor 2024 bagaikan ‘pisang goreng yang panas’ apabila jualan tiketnya mencapai 94 peratus.

Perkara itu dimaklumkan oleh pengerusi Piala Sultan Selangor 2024, Tan Sri Abd Karim Munisar yang hadir ke Majlis Siri Jelajah Promosi kejohanan itu di Seri Kembangan.

Menurutnya, penantian empat tahun peminat-peminat Piala Sultan Selangor merupakan antara faktor utama penjualan tiket perlawanan Piala Sultan Selangor mencecah 94 peratus dalam hanya dua minggu semenjak ianya mula dijual pada 24 Jun lalu, dengan kesemua tiket grandstand berharga RM20 telah habis dijual.

Pengerusi Piala Sultan Selangor 2024, Tan Sri Abd Karim Munisar

“Kejohanan Piala Sultan Selangor 2024 yang bakal berlangsung 17 Ogos nanti amat ditunggu oleh peminat bolasepak kerana ia bertujuan menyegarkan pertembungan hebat Selangor-Singapura dan menyaksikan aksi-aksi veteran legenda bolasepak Selangor dan Singapura di masa silam yang pernah beraksi di Stadium Merdeka.

“Antara faktor lain ialah kerana kita akan bermain di stadium yang bersejarah iaitu Stadium Merdeka yang baru sahaja siap pengubahsuaian, jadi peminat bola sepak boleh merasai untuk melihat perlawanan bola sepak seperti zaman dahulu kala,” katanya.

Beliau juga turut mengatakan bahawa pasukan Selangor akan menggunakan pemain yang tersedia daripada pasukan Selangor FC namun ia bergantung dengan penjadualan perlawanan akhir Piala FA.

“Kita akan pakai pemain yang ada sekarang ini dalam pasukan Selangor FC dan kita sudah merancang dari awal bagaimana kita akan memilih pemain jika Selangor FC berjaya ke perlawanan akhir Piala FA.

“Bagi pasukan Singapura pula, kita akan berjumpa mereka pada awal Ogos tetapi senarai pemain daripada kedua-dua pasukan sudah diberi.

“Kita mengharapkan agar anak Fandi Ahmad (Irfan, Ikhsan & Ilhan) untuk bermain dalam Piala Sultan Selangor ini. Jika mereka datang ia mampu untuk menarik keturujaan perlawanan itu dengan lebih banyak,” ujarnya.

Peminat yang mash belum berkesempatan membeli tiket The Sultan of Selangor’s Cup disarankan datang segera ke lokasi-lokasi jualan di Siri Jelajah Promosi TSSC di Majlis Perbandaran Ampang Jaya pada 15 Julai dan Majlis Perbandaran Selayang pada 22 Julai.

Perlawanan Piala Sultan Selangor edisi ke-20 tahun ini akan bermula dengan aksi Veteran Selangor menentang Veteran Singapura pada jam 8 malam, diikuti perlawanan utama antara Pilihan Selangor berdepan Pilihan Singapura pada jam 9 malam, dengan kesemua perlawanan berlangsung di Stadium Merdeka pada 17 Ogos ini.