JUALAN tiket perlumbaan MotoGP Malaysia umpama ‘pisang goreng panas’ apabila lebih 80 peratus tiket sudah pun dijual dengan beberapa grandstand hanya mempunyai jumlah tiket yang terhad.
Tambah menarik, inisiatif Litar Antarabangsa Sepang Petronas yang membuat jualan Tiket Rahmah bernilai RM49.90 menjadi antara tiket paling laku terjual sekaligus memberikan lebih peluang buat peminat tempatan untuk menyaksikan aksi permotoran antarabangsa di laman sendiri.
Perkara ini disahkan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif ketika ditemui media selepas majlis sidang media Kerjasama Strategik SIC bersama Tourism Selangor di Sepang.
“Tiket sudah terjual hampir 80 peratus dan kita jangka menjelang hari perlumbaan, kita dapat menjual kesemua tiket dengan sasaran 200,000 penonton diletakkan pada perlumbaan tahun ini.
“Jualan Tiket Rahmah boleh dikatakan laku keras dan lebih baik berbanding musim lalu dan masih dijual tetapi lebih ramai yang menggemari tempat duduk berbumbung kerana faktor cuaca yang tidak menentu di negara ini,” katanya.
Dalam sidang media yang sama, SIC turut memperkenalkan Tourism Selangor sebagai rakan strategik mereka dan pihak agensi kerajaan itu akan menjadikan perlumbaan MotoGP musim ini sebagai penggerak kepada Kempen Tahun Melawat Selangor 2025 yang akan disambut pada tahun hadapan.
Kerjasama ini adalah satu langkah yang penting ke arah menjadikan negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan sukan pilihan utama yang sejajar dengan matlamat untuk menarik 8 juta pelancong semasa Tahun Melawat Selangor 2025.
Hadir dalam sidang media itu adalah Datuk Ng Suee Lim, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor serta Azrul Shah Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor yang mana melibatkan penajaan sebanyak RM500,000.
Dalam perkembangan yang sama, Shafriman turut menyatakan Litar Antarabangsa Sepang Petronas telah menjalani beberapa proses naik taraf seperti sistem saliran, pintu paddock dan laluan penonton bagi memastikan keselesaan para pengunjung ketika hari perlumbaan.
Perlumbaan MotoGP Malaysia akan berlangsung dari 1 hingga 3 November sebagai pusingan kedua terakhir musim 2024 dengan perebutan kejuaraan bakal berlangsung hangat dalam kategori MotoGP dan Moto2.