PENYOKONG Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak melepaskan peluang untuk sama-sama meraikan kejayaan Harimau Selatan merangkul gelaran Liga Super Malaysia buat kali kesembilan berturut-turut apabila tiket ke sambutan itu habis dijual dalam tempoh tiga jam selepas jualannya dibuka kepada umum.
Sambutan yang akan diadakan sejurus tamat perlawanan antara JDT dan Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim itu pastinya menjadi tumpuan seluruh peminat bola sepak tempatan kerana ianya pasti akan menjadi satu lagi penanda aras dalam arena sukan tempatan.
Buat julung kalinya juga, kesemua skuad JDT dari skuad senior hingga ke skuad Akademi JDT akan diraikan dalam majlis gilang gemilang yang diiringi persembahan bunga api pelbagai lagi acara yang telah disusun untuk menghangatkan lagi malam di Iskandar Puteri.
Selain menyambut kejuaraan kesembilan berturut-turut sejak 2014, JDT juga kini dalam landasan terbaik untuk menamatkan musim liga dengan rekod tanpa kalah dimana kali terakhir perkara ini berjaya dicapai para musim 2016.
Seperti kebiasaannya, majlis-majlis daerah di setiap daerah di Johor akan menyediakan tayangan skrin gergasi kepada para penyokong yang tidak berjaya mendapatkan tiket untuk sama-sama meraikan kejayaan bersejarah Harimau Selatan ini.
Buat pertama kali juga sejak ditubuhkan pada 2013, tiga skuad JDT berjaya mendominasi tiga liga utama negara dengan skuad senior menjuarai Liga Super manakala skuad JDT II muncul juara Liga Premier dan skuad JDT III pula menjuarai Piala Presiden.
Tambah menarik, JDT turut memenangi Piala Sumbangsih dan Piala FA manakala skuad Akademi JDT berjaya memenangi tujuh piala menjadikan jumlah 11 piala buat JDT sepanjang tahun 2022.