PENYOKONG Selangor FC sekali lagi mendapat perhatian ramai apabila tiket untuk aksi Liga Super antara Gergasi Merah dan Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad habis dijual.
Ini juga adalah perlawanan kedua melibatkan Selangor yang menyaksikan tiket habis dijual selepas aksi bertemu Kedah Darul Aman minggu lalu yang berkesudahan dengan kemenangan 1-0 memihak kepada Gergasi Merah.
Keghairahan penyokong ke stadium ini mendapat pujian ketua jurulatih, Nidzam Jamil dan ketua pasukan, Safuwan Baharudin yang nyata gembira dan teruja melihat sokongan tidak berbelah bahagi penyokong terhadap pasukan.
“Saya nak ucapkan terima kasih untuk semua penyokong yang sentiasa berada di belakang kita untuk dua tiga tahun kebelakangan ini dan saya difahamkan untuk dua perlawanan ini tiket habis dijual.
Saya harap dengan situasi ini para pemain dapat rasa yang penyokong sentiasa menyokong mereka dan berikan aksi terbaik di dalam padang,” kata Nidzam dalam sesi media di Pusat Latihan SFC di Shah Alam pada Jumaat.
Perkara ini turut dipersetujui oleh Safuwan yang menyatakan sebagai pemain dia sememangnya teruja untuk beraksi di dalam stadium yang penuh sekaligus memberikan semangat tambahan buat mereka.
“Setiap pemain suka bermain dalam stadium yang penuh kerana ianya sebagai motivasi tambahan. Kredit kepada penyokong yang telah menyokong kami selama ini dan cara terbaik untuk kami membalas kepercayaan mereka adalah dengan memberikan persembahan terbaik dan kemenangan,” jelasnya.
Selangor mahu meneruskan rentak kemenangan dalam Liga Super dan sokongan daripada para penyokong ini sememangnya akan menjadi penambah semangat buat para pemain yang masih dibelenggu masalah keselamatan.