KEKECEWAAN mendalam sejurus Amerika Syarikat (AS) tewas 3-1 kepada Belanda, membuatkan Timthy Weah memeluk jurulatih Gregg Berhalter, sebaik menyedari pasukan mereka sudah tersingkir dari Piala Dunia 2022.

Weah dikeluarkan pada separuh masa kedua, ketika pasukannya bergelut menggerakkan jentera serangan.

Anak kepada bekas pemenang anugerah Ballon d’Or yang juga Presiden Liberia, George Weah itu menjaringkan gol pertama AS di peringkat kumpulan ketika menentang Wales, namun tumpul ketika berdepan Belanda.

Tim Weah segera memeluk Gregg Berhalter sejurus wisel penamat dibunyikan.

Berhalter turut memeluk beberapa pemain lagi termasuk kapten Tyler Adams, yang kemudian mendedahkan bahawa jurulatih tersebut memintanya mengangkat kepala, memandang ke hadapan.

Weah hampir menjaringkan gol penyamaan (1-1) pada minit ke-42 selepas melepaskan rembatan dari jarak 25 ela, namun penjaga gol Belanda, Andries Noppert berjaya menepisnya.

Malangnya bagi AS, Daley Blind akan menjaringkan gol sebelum rehat separuh masa untuk memberikan Belanda pendahuluan 2-0 selepas gol pertama dijaringkan Memphis Depay.

Pemain gantian separuh masa kedua, Haji Wright mengurangkan defisit AS kepada 2-1 pada minit ke-76 apabila hantaran lintang Christian Pulisic terkena kakinya dan menerjah jaring dikawal Noppert. Tetapi Dumfries, yang membantu dua gol pertama, menjaringkan gol menerusi sepakan voli pada minit ke-81.

“Apabila anda bermain dengan pasukan memiliki kualiti yang begitu tinggi dan anda memberi mereka tiga, empat peluang, mereka akan memperoleh tiga atau empat lagi,” kata kapten AS, Tyler Adams.

“Kami boleh menunjukkan bahawa kami boleh mengimbangi beberapa pasukan terbaik di dunia, beberapa pemain terbaik di dunia, dan itu adalah kemajuan untuk bola sepak AS.

“Kami bergerak ke arah yang betul, sudah pasti, tetapi kami perlu terus mendesak, kerana kami belum sampai ke sana. Tapi kita dah dekat,” kata Adams lagi.