PERSEKUTUAN Renang Malaysia (MAS) berdebar menantikan tanggal 23 Jun yang menjadi detik penentu kepada penambahan atlet terjun negara, yang bakal beraksi di Sukan Olimpik Paris 2024.

Setiausaha Agungnya, Andy Low berkata, dua penerjun berada pada situasi berkemungkinan layak ke Paris, iaitu Nur Dhabitah Sabri dan Ooi Tze Liang.

“Masih ada peluang tapi sangat tipis. Kalau ada yang menarik diri, boleh masuk. Apapun, peluang itu sangat tipis. Sekiranya dapat, ia satu bonus besar buat kita,” kata Andy, mengulas mengenai peluang dua penerjun negara itu mengiringi Bertrand Rhodict Lises ke Kota Paris.

Kelmarin, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan seramai 18 atlet kebangsaan daripada tujuh jenis sukan layak ke Paris 2024.

Katanya, menjelang tarikh tutup pada penghujung Jun ini, pihaknya menjangkakan kira-kira 10 lagi atlet akan layak ke edisi ke-33 itu yang bakal berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Beliau merangkumkan 18 atlet yang sudah layak termasuk dari sukan badminton yang belum dikeluarkan senarai rasmi daripada Persekutuan Badminton Dunia (BWF), yang hanya akan mengeluarkan senarai rasmi pada 10 Mei depan.

Setiausaha Kehormat MAS, Andy Low (kiri) hanya perlu menunggu pengumuman daripada World Swimming.

Jangkaan penambahan atlet ke Sukan Olimpik itu hadir menerusi daripada sukan memanah individu dan berpasukan yang bakal beraksi di kejohanan kelayakan terakhir di Antalya, Turkiye dari 14 hingga 17 Jun ini.

Selain itu, beliau turut berkata, bilangan kontinjen dilihat bakal bertambah menerusi sukan terjun dengan adanya pengagihan semula kouta yang tidak digunakan dan ‘universality places‘ atau lebih dikenali sebagai ‘wildcard‘ bagi sukan renang dan olahraga.

Setakat ini, kontinjen negara sudah disertai 10 atlet iaitu tiga atlet berbasikal trek, Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izaati Mohd Asri; atlet berbasikal lebuhraya, Nur Aisyah Mohd Zubir; dua pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Mohd Latif; atlet angkat berat, Mohamad Aniq Kasdan; penembak negara, Johnathan Wong; pemanah, Ariana Nur Dania Mohd Zairi dan penerjun, Bertrand Rhodict Lises.

Lapan atlet terbaharu yang bakal mengesahkan slot ke temasya berprestij itu adalah daripada kem badminton negara iaitu pemain perseorangan lelaki Lee Zii Jia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki), Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita), Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) dan Goh Jin Wei (perseorangan wanita), selepas ranking kelayakan berakhir.