PEMAIN pertahanan Kuala Lumpur City FC, Giancarlo Gallifuoco tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila mereka sudah melepaskan 10 gol dari lima perlawanan tetapi dia menganggap perkara ini bakal diatasi.

Terbaharu, pemain yang mesra disapa GG itu dan barisan pertahanan KL City dibolosi sebanyak tiga kali apabila tewas 1-3 kepada musuh setempat, Selangor FC dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.

Dia juga berharap perkara ini dapat diperbaiki segera apabila kesemua pemain utama kembali dari kecederaan yang dialami akibat dari masalah keadaan pusat latihan yang tidak sesuai yang dihadapi ketika ini.

“Saya tidak gembira kerana kami sudah lepaskan 10 gol dengan empat darinya adalah penalti dan dua gol sendiri. Ianya sangat mengecewakan sebagai pemain pertahanan.

“Tipu jika saya katakan saya tidak kecewa tetapi inilah masanya untuk bangkit dan tunjukkan karakter terutama kepada para penyokong yang setia sampai mati memberikan sokongan kepada kami tetapi saya kecewa kerana tewas dalam perlawanan derbi.

“Kami mempunyai 13 pemain yang tercedera dalam masa tiga bulan dan ini adalah perkara yang tidak baik buat pasukan dan berharap perkara berkaitan pusat latihan ini dapat diselesaikan segera supaya semua pemain dapat kembali cergas untuk membantu pasukan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

GG juga memberitahu yang dia belajar berpuasa setiap tahun sejak hadir ke Malaysia dan kagum dengan keadaan para pemain yang masih mampu bermain pada tahap terbaik meskipun berpuasa sepanjang hari.

“Saya sentiasa cuba berpuasa setiap kali pada hari pertama Ramadan. Tahun pertama saya gagal dengan teruk tetapi tahun ini lebih baik. Ini buatkan saya kagum dengan pemain yang berpuasa dan masih mampu bermain pada tahap tertinggi dan ini adalah lambang disiplin,” tambahnya.