PASUKAN TKKR Racing Team masih giat memburu penaja rasmi dalam mendukung para pelumba yang layak menyertai kempen Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024.

Sebelum ini, mereka memaklumkan di laman rasmi Facebook bahawa sebuah syarikat minyak tempatan telah bersetuju untuk menjadi rakan penaja bagi pasukan TKKR, namun syarikat tersebut meletakkan syarat yang tidak masuk dek akal.

“Sehingga hari ini kami masih gagal untuk mendapatkan penaja untuk beraksi di ARRC 2024.

Sesi latihan pertama pasukan TKKR bagi tahun 2024 telah diadakan pada awal Februari.

“Sebuah syarikat minyak tempatan yang telah pun bersetuju untuk menaja kami telah meletakkan syarat yg tidak masuk akal seperti menyuruh kami untuk bersetuju menjual minyak mereka dengan jumlah jualan RM2 juta, walaupun pada awalnya sudah bersetuju untuk menaja kami.

“Jika dalam waktu terdekat ini kami gagal mencari pengganti penaja ini, maka perjalanan kami ke Asia akan terhenti untuk tahun ini,” menurut kenyataan yang dikeluarkan di laman rasmi Facebook TKKR.

Namun begitu, pasukan juara berganda bagi kelas Asia Superbike 1000cc (ASB1000) tahun 2023 itu juga telah meluahkan bahawa mereka akan kekal optimis untuk terus berusaha mencari penaja sebelum Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand mula membuka tirainya pada pertengahan Mac depan.

Motosikal berkuasa tinggi yang digunakan pada Kejuaraan tahun 2024.

“Sudah tentu kita akan berusaha untuk terus berlumba.

“Tambahan pula, pelbagai kejuaraan kami sudah rasa di ARRC ini namun sebarang penghargaan juga kami tidak pernah terima,” ujar pasukan dalam hantaran berbeza di Facebook.

Untuk rekod, TKKR Racing Team berjaya melakar kejayaan tahun lalu dalam meraih gelaran juara berganda selepas pelumbanya dari Jerman, Markus Reiterberger yang menunggang jentera BMW M1000 RR muncul juara keseluruhan dengan mengumpul 250.5 mata.

TKKR turut muncul sebagai juara keseluruhan pasukan selepas mengumpul 402 mata, manakala tempat kedua disusuli oleh Honda Asia-Dream Racing with SHOWA, dengan kumpulan 360.5 mata.