TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim berkunjung ke Singapura sempena kempen pra musim gergasi Inggeris, Liverpool FC di sana dan meluangkan masa melayan kerenah anakanda berjumpa dengan bintang pasukan Merseyside itu.

Liverpool kini dalam rangka persiapan untuk mengharungi musim baharu Liga Perdana Inggeris dan menjadikan Singapura sebagai salah satu kem latihan dengan mengadakan dua perlawanan ujian menentang Leicester City dan Bayern Munich.

Baginda yang segak memperagakan jersi baharu Inter Miami berwarna merah jambu dilihat bergambar dengan tiga bintang Liverpool, Luis Diaz, Darwin Nunez dan pemain yang baharu ditandatangani Alexis Mac Allister di hotel penginapan rasmi.

Tiga bintang sensasi itu juga meluangkan masa menandatangani jersi baharu Liverpool dan melayan kerenah anakanda TMJ yang kelihatan gembira dapat bertemu pemain antarabangsa itu berdasarkan hantaran yang dimuat naik di laman sosial peribadi Baginda.

Menjengah ruangan komen, ramai penyokong JDT mencadangkan kepada Tunku Ismail untuk dia mengaturkan perlawanan persahabatan antara JDT dan Liverpool FC di Stadium Sultan Ibrahim.

Sebelum ini, JDT pernah mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang kelab Jerman, Borussia Dortmund pada hujung musim 2022 yang mendapat sambutan hangat penyokong.

Tunku Ismail sememangnya terkenal mempunyai kenalan dalam dunia bola sepak di seluruh dunia hasil kerjasama baginda dengan beberapa kelab hingga menjadikan kelab miliknya, Johor Darul Ta’zim berkembang menjadi kuasa dominan di Liga Malaysia.