PEMILIK Johor Darul Ta’zim yang juga Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan bahawa pasukan JDT Racing Team akan menjadi lebih besar dari tahun ke tahun dengan banyak lagi perkara akan dibawa ke pasukan itu.
Tunku Ismail berkata demikian menerusi komen balas hantaran Hafizh Syahrin Abdullah di laman sosial peribadi pelumba itu dengan mengucapkan tahniah kepada El Pescao yang berjaya menamatkan perlumbaan kelas ASB1000 di tempat kedua pada penampilan pertama pasukan.
Dalam perlumbaan Asia Road Racing Championship (ARRC) 2024 di Litar Antarabangsa Chang, Buriram itu Hafizh berjaya bangkit dari kegagalan jentera pada perlumbaan pertama untuk menduduki tangga kedua pada perlumbaan kedua.
Kejayaan Hafizh bukan sahaja menarik perhatian peminat sukan permotoran tetapi ianya juga menjadi buah mulut netizen terutama penyokong bola sepak sekali gus menggambarkan kekuatan jenama JDT itu sendiri.
Hafizh memuat naik hantaran bertulis “Terima kasih @hrhcrownprinceofjohor The feeling i have now Alhamdulilah” yang mendapat komen balas dari Tunku Ismail sendiri yang menyatakan idea untuk pasukan ini adalah menjadi lebih baik saban tahun.
“Ianya baru permulaan. Lebih banyak akan datang. Ideanya adalah untuk berkembang lebih besar setiap tahun. Tahniah Hafizh,” tulis kenyataan itu yang mendapat ratusan tanda suka di Instagram.
JDT membuktikan jenama mereka semakin berkembang apabila terlibat bukan sahaja dalam bola sepak tetapi futsal, hoki ais, e-sports, tinju dan kini permotoran dengan semuanya mempunyai keupayaan untuk muncul juara.
JDT Racing Team akan berlumba di pusingan kedua ARRC 2024 di Litar Zhuhai, China dari 19 hingga 21 April 2024.