PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) supaya dilaksanakan ‘Financial Fair Play’ dan mewajibkan program akar umbi untuk kelab-kelab yang bertanding.

Tunku Ismail berkata demikian ketika membuat hantaran balas mengenai kerjasama antara Kuala Lumpur City FC dan kelab La Liga, Cadiz CF yang ditandatangani di ibu negara pada Isnin.

Tangkap layar dari komen yang ditulis TMJ di ruangan MalaysianFootballLeague

Sejak dahulu masalah gaji sering membelenggu pasukan dalam Liga Malaysia dan perkara ini perlu ditangani segera bagi memastikan kebajikan pemain terpelihara dan kelab yang tidak mampu untuk bertanding segera disekat sebelum keadaan bertambah parah.

TMJ turut berpesan kepada semua bahawa kerjasama dengan kelab luar ini hanyalah dari segi kepakaran, pembangunan dan perancangan sahaja namun segalanya perlu dilakukan sendiri oleh kelab bila ianya melibatkan isu ‘survival’, strategi komersil, duit, pembangunan akar umbi dan infrastruktur.

Ini kerana dia tidak mahu apa yang terjadi kepada PJ City FC berulang kerana mereka dahulu pernah menjalin kerjasama dengan Manchester City FC tetapi tidak mampu untuk bertahan dan akhirnya terpaksa ditutup kerana kekangan kewangan akibat kekurangan nilai komersil.

KL City FC jalin kerjasama dengan Cadiz CF dari Sepanyol

Satu perkara lagi yang disentuh oleh TMJ adalah untuk mewajibkan program pembangunan akar umbi di setiap kelab sebagai syarat sah untuk bertanding dalam pertandingan anjuran FAM dan MFL.

Pembangunan akar umbi adalah elemen terpenting dalam masa depan bola sepak kerana akan melahirkan bakat-bakat baharu dalam sukan ini dan setiap pasukan perlu mempunyai program ini bagi memastikan kelangsungan kelab itu sendiri.

TMJ berhak menegur tentang perkara ini kerana JDT sudah menjalinkan kerjasama dengan Borussia Dortmund, Valencia, Juventus, City Group, Altetico Madrid dan Consadale Sapporo selain mempunyai Akademi JDT yang sudah memenangi 22 trofi setakat ini.