Oleh: Mohd Fariq di Johor
MALAM yang cukup sempurna buat Arif Aiman Hanapi apabila menjadi tonggak utama buat Johor Darul Ta’zim (JDT) menewaskan Selangor 4-0 dalam aksi separuh akhir Piala FA 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Masih segar dengan kejayaan bersama Harimau Malaya meledak empat gol menewaskan Papua New Guinea 10-0 pada minggu lalu, penyerang Harimau Selatan itu terus konsisten mempamerkan prestasi tertinggi apabila mencipta hatrik pada minit ke-20′, 32′ dan 38′.
Lebih mustahak, Arif Aiman sekali lagi melakarkan sejarah apabila mencipta hatrik terpantas dalam sejarah Liga Malaysia.
Apa yang pasti, Arif Aiman yang dikenali sebagai ‘Messi’ telah menikmati persembahan terbaiknya sekali gus menjadi elemen penting dalam kejayaan JDT melangkah ke perlawanan akhir Piala FA 2023 bertemu Kuala Lumpur City FC nanti.
Pujian harus diberikan kepada pemilik Harimau Selatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang berani mengambil risiko untuk mempertaruhkan pemain muda seperti Arif Aiman turun bermain di atas padang.
Mengimbau kembali penampilan sulung di pentas Liga Malaysia, pemain berusia 21 tahun itu telah melakukan debut bersama JDT ketika bertemu Felda United pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada 14 Mac 2020.
Ternyata pencaturan genius Tunku Ismail nyata membuahkan hasil tersendiri sebagaimana kelibat Arif Aiman ketika ini seolah-oleh terlalu sukar digugat oleh benteng pertahanan lawan.
Penulis pernah melibat persembahan pemain terbaik negara seperti Azman Adnan dan Akmal Rizal Ahmad Rakhli ketika usia muda mereka tetapi Arif Aiman mempamerkan mengapa dia berstatus ‘WonderBoy Malaysia’ malam ini.
JDT sekali lagi berjaya menemukan ramuan terbaik mereka menghasilkan pemain tempatan terbaik dan penulis percaya Tunku Ismail akan terus menghasilkan formula-formula melahirkan lebih banyak pemain berkualiti seperti Arif Aiman.
Benarlah titah Tunku Ismail baru-baru ini, kenapa perlu pemain keluar dari JDT sedangkan mereka adalah kelab terbaik negara ketika ini.
Akhir kata, penulis bersama 32, 257 penyokong di Stadium Sultan Ibrahim cukup terpesona melihat ‘Messi’ beraksi di Johor malam ini.