PEMAIN pertahanan Sri Pahang FC menjunjung kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang banyak membantu dirinya berkembang menjadi seorang pemain yang lebih baik apabila dipinjamkan ke Sri Pahang.
Azrif yang sebelum ini dilanda kecederaan yang teruk dilihat sukar mendapat tempat dalam skuad utama Johor Darul Ta’zim dan TMJ mengambil keputusan untuk meminjamkannya ke Sri Pahang bagi mendapatkan lebih minit permainan dan ianya nyata satu langkah yang bijak.
“Syukur dan terima kasih pada TMJ yang hantar saya ke Sri Pahang. Apa yang dia lakukan itu terbaik untuk saya dan saya faham dengan keputusan dia hantar saya ke Sri Pahang. Bukan mudah untuk merebut tempat dalam pasukan terbaik Malaysia. Saya perlu bekerja keras dan tidak boleh ambil kedudukan selesa, terima kasih TMJ.
“Di Sri Pahang saya banyak mendapat tempat dalam kesebelasan utama dan saya boleh faham apa yang Fandi Ahmad mahukan dalam situasi latihan dan dalam permainan. Saya perlukan benda ini untuk terus belajar dan disiplin kan diri sendiri,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN.
Azrif yang kini bergelar usahawan hotel kucing di Bukit Jelutong juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada barisan fisioterapis JDT yang menjaganya dengan baik ketika cedera dan memastikan dia dapat kembali beraksi seperti biasa.
“Saya juga ucapkan terima kasih pada pasukan fisio JDT. Kecederaan saya terlalu teruk dan cara mereka menjaga saya dalam keadaan kecederaan hingga sembuh dan buatkan saya teruskan karier bola sepak dan bermain seperti biasa tidak boleh diungkapkan dengan kata-kata,” tambahnya.
Bekas pertahanan kebangsaan itu juga tidak menolak kemungkinan jika dipanggil semula ke skuad kebangsaan namun dia tidak meletakkan harapan yang besar dan akan terus menunjukkan prestasi yang baik setiap kali beraksi.
“Jika ada rezeki dapat kembali ke pasukan kebangsaan saya akan beri apa yang saya belajar di JDT dan Sri Pahang namun saya tidak berharap dalam masa terdekat tetapi saya akan terus tunjukkan prestasi yang baik dalam bola sepak,” jelasnya lagi.
Pada usia 32 tahun, Azrif dilihat masih mampu untuk beraksi dengan baik dan berjaya membantu Sri Pahang bersaing merebut tempat kedua bersama-sama Selangor FC, Kedah Darul Aman FC dan Sabah FC dalam saingan Liga Super yang semakin menghampiri kemuncaknya.