PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim berjanji kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk Harimau Selatan beraksi lebih baik dalam Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) musim hadapan.

Ini selepas Tunku Ismail meninggalkan komen pada hantaran ucapan tahniah kepada JDT yang berjaya mencatat kejuaraan quadruple musim ini hasil kejayaan menjuarai Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

Tambah manis, ini adalah musim kedua berturut-turut Harimau Selatan berjaya mencatat kejayaan quadruple sekali gus bergelar ‘Double Quadruple’ mengatasi rekod Kedah yang melakukan ‘Double Treble’ sebelum ini.

“Terima kasih AFC. Kami akan cuba lakukan lebih baik dalam Liga Juara-Juara AFC musim hadapan. Itu adalah janji,” tulisnya dalam hantaran itu.

JDT tersingkir dari peringkat kumpulan ACL musim ini selepas tewas 0-5 kepada Kawasaki Frontale di Jepun dan dipisahkan peraturan ‘head to head’ dengan Ulsan Hyundai di tempat kedua.

Kejayaan JDT mengejutkan gergasi Asia di ACL membuka mata banyak pihak terutama pemerhati bola sepak di Korea Selatan yang kini tidak lagi memandang rendah keupayaan kelab dari Asia Tenggara.