Oleh MD Fariq

BERCERITA tentang kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam sejarah bola sepak tempatan mungkin boleh disimpulkan seperti irama dengan lagu.

Itulah diksi penulis terhadap keunggulan sebuah pasukan yang bernama JDT ini yang sentiasa tidak pernah lekang melakarkan sejarah demi sejarah saban tahun dalam Liga Malaysia.

Sabtu lalu, skuad Harimau Selatan menambah lagi koleksi trofi domestik apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Piala FA 2024/2025 dengan menepati ramalan selaku pasukan pilihan menundukkan Selangor 6-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Karisma JDT begitu konkrit sehingga semua pengikut bola sepak tempatan tahu betapa kelab yang berpangkalan di Selatan tanah air ini tidak lagi setara dengan pasukan-pasukan lain bahkan jauh melangkah melebarkan sayapnya segah dengan reputasi sebagai Sang Raja Liga Malaysia.

Harimau Selatan menambah lagi koleksi trofi domestik apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Piala FA 2024/2025.

Namun apa yang menarik perhatian penulis adalah penjenamaan nama JDT itu sendiri sebenarnya telah membuka dimensi baharu betapa imej skuad Harimau Selatan ini tidak bersandarkan identiti bola sepak semata-mata sebaliknya ia meliputi aspek-aspek pemasaran dan komersial nilai tinggi.

Atas sebab itu, bukan sesuatu yang menghairankan apabila jenama-jenama besar antarabangsa sudah terpikat dengan JDT antaranya UNICEF, Aston Martin Racing, Hublot dan Nike yang biasanya lebih berminat dengan kelab-kelab Eropah atau menaja pemain-pemain terkenal sahaja.

Petik sahaja nama JDT secara automatik algoritma naik secara mendadak dan sama ada suka atau tidak, kita semua akur bahawa kelab ini sudah mencapai standard global tetapi dalam masa yang sama ia masih memiliki unsur fleksibel tersendiri.

Jenama JDT terkenal bukan sahaja Malaysia tetapi sehingga ke peringkat global.

Ketika segelintir pasukan masih mengambil pendekatan konvensional, JDT pula sudah berani mengintai manifesto bertentangan sesuai dengan falsafah mereka iaitu mengambil risiko demi mencapai visi dan kejayaan dan jelas ia membuahkan hasil.

Rakyat Johor seharusnya bersyukur kerana sentuhan ‘midas’ pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah berjaya transformasi bukan sahaja bola sepak Johor tetapi mentaliti Harimau Selatan membuat semua berbangga dapat menyarungkan jersi kelab itu pada hari ini.

Tanpa kebijaksaan Tunku Ismail, penjenamaan JDT yang gah dalam mahupun luar padang, tidak akan terjadi kerana baginda tidak kenal erti penat lelah untuk melakarkan sesuatu sejarah dalam bola sepak domestik.

Sebagai contoh, jika kita sebut nama Petronas dan kita semua tahu itu adalah jenama tersohor pengeluar minyak negara yang terlibat dengan pelbagai sukan antaranya Formula Satu (F1) dan hari ini jika kita sebut nama JDT, semua tahu ia merupakan sebuah kelab yang memiliki agenda ke arah itu.

JDT juga mengorak langkah dalam sukan projek E-Sukan.

Terbaru JDT yang turut memiliki projek dengan sukan permotoran, juga dikaitkan terbabit dengan projek E-Sukan seperti penubuhan skuad Mobile Legend Bang Bang (MLBB) termasuk sukan kombat iaitu UFC dan jika ini benar, ia benar-benar cukup mengagumkan.

Dan apa yang lebih menarik perhatian penulis, ke manakah destinasi JDT yang mahu dibawa oleh Tunku Ismail yang bagaikan tiada hadnya?

Apakah baginda memiliki perancangan jangka masa pendek ataupun panjang yang tersendiri dan bermula dengan kelab bola sepak tetapi memiliki kejayaan di dalam pelbagai bidang sukan lain membuatkan penjenamaan JDT menjadi satu empayar yang tiada tolok bandingan.

Kini sahaja sentuhan Tunku Ismail bersama Harimau Selatan, ia akan bertukar menjadi ‘emas’ dan itulah realiti betapa besar impaknya penjenamaan nama JDT pada hari ini.