MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengakui Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim gembira dengan keadaan terkini padang di Stadium Nasional Bukit Jalil selepas majlis perasmian padang baharu itu.
Hannah turut menyatakan bahawa Tunku Ismail juga telah memberikan beberapa cadangan berkaitan penyelenggaraan padang jenis Zeon Zoysia itu yang sudah digunapakai di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri sebelum ini.
“TMJ kelihatan berpuas hati dengan keadaan padang dan dia telah memberikan beberapa cadangan tentang cara penyelenggaraan padang dan kita juga akan dapatkan maklum balas daripada para pemain dan jurulatih Harimau Malaya kerana mereka adalah yang pertama akan mencuba padang ini.
“Mungkin pada kami, padang kelihatan menghijau dan cantik tetapi hanya pemain yang boleh memberikan maklum balas kerana mereka yang bermain di atas padang itu pada perlawanan menentang India di Kejohanan Pestabola Merdeka esok,” katanya dalam sesi sidang media.
Hannah juga yakin dengan kemampuan kontraktor yang dilantik bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan kerana sedar bahawa Stadium Nasional ini adalah stadium multi fungsi yang digunakan bukan sahaja untuk sukan tetapi juga acara komersil seperti konsert.
“Kami faham stadium ini akan dibuka untuk sukan dan juga untuk pelbagai lagi acara komersil seperti konsert dan perkara ini perlu seimbang. Tetapi dengan kontrak penyelenggaraan setahun dari kontraktor yang dilantik serta tapak semaian yang baharu, kami yakin mereka dapat menjaga padang ini dengan baik,” tambahnya.
Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) juga gembira apabila inisiatif merakyatkan sukan yang membuka trek larian Stadium Nasional Bukit Jalil buat sekolah-sekolah melangsungkan sukan sekolah mendapat sambutan yang menggalakkan.
“PSM telah membuka trek larian kepada sekolah untuk acara sukan sekolah masing-masing dari Isnin hingga Jumaat apabila stadium tidak digunakan dan difahamkan tempahan sangat banyak dari sekolah-sekolah.
“Ini adalah untuk memberi inspirasi pada pelajar untuk merasai pengalaman berlari di dalam stadium ini kerana apa guna jika kita mempunyai stadium bertaraf dunia tetapi tidak dapat dimanfaatkan oleh rakyat,” jelasnya.
Projek kerja menaik taraf padang Stadium Nasional Bukit Jalil, struktur dan tapak semaian melibatkan kos sebanyak RM4.7 juta dengan bukan sahaja pembaikan padang, malah PSM turut menambah baik trek larian kawasan luar, tandas, surau dan kawasan sekitar stadium.