PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Presiden Selangor FC, Raja Muda Selangor (RMS) Tengku Amir Shah Sultan Sharafudin Idris Shah mengadakan pertemuan empat mata di Kuala Lumpur pada Ahad.

Dua pewaris takhta negeri ini dilihat mengadakan perbincangan yang turut dihadiri beberapa pegawai dari kedua-dua kelab untuk kemajuan Liga Malaysia.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh laman sosial rasmi JDT, kedua-dua kelab berkongsi idea berkaitan cara untuk menambah baik liga Malaysia, pembangunan belia dan mengeratkan lagi kerjasama antara JDT dan Selangor FC.

 

Perkara ini disambut baik oleh peminat bola sepak tempatan apabila ruangan komen dipenuhi coretan positif yang memuji kedua-dua kerabat DiRaja ini yang sudi berbincang demi kepentingan bola sepak tempatan.

JDT yang baharu sahaja menjuarai Piala FA adalah contoh terbaik yang boleh diikuti oleh semua kelab di Malaysia terutama mengenai cara menguruskan kelab secara professional dan konsisten bergelar juara.

Sejak ditubuhkan pada 2013, Harimau Selatan sudah berjaya memenangi 20 trofi dengan 19 darinya adalah trofi domestik manakala satu adalah trofi benua apabila muncul juara Piala AFC pada 2015.

JDT juga banyak membantu ranking MA Malaysia yang kini berada di tempat keempat Asia Timur menerusi sumbangan mata yang berterusan dari penyertaan mereka di Liga Juara-Juara AFC sejak 2018.

Selangor FC pula perlu bangkit bagi menepati status mereka sebagai King of Malaya dengan kejuaraan Piala Malaysia sebanyak 33 kali tetapi kini bergelut untuk mencapai sebarang keputusan yang boleh dibanggakan para penyokong The Red Giants.

Diharap perjumpaan ini akan menyemarakkan lagi hubungan antara kedua-dua kelab dan boleh membantu meningkatkan kualiti liga tempatan dengan penglibatan lebih banyak kelab di peringkat Asia.