PEMILIK kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim gembira dengan sambutan para penyokong Harimau Selatan yang membanjiri Stadium Sultan Ibrahim ketika aksi separuh akhir Piala FA pada Isnin.

Meskipun perlawanan dilangsungkan pada hari Isnin, namun ianya tidak menyekat kehadiran 32,257 orang penyokong ke stadium yang akhirnya pulang gembira dengan kemenangan 4-0 JDT keatas Selangor FC sekaligus layak ke final.

Tunku Ismail dilihat meninggalkan hantaran di ruangan komen Instagram rasmi kelab yang memuatnaik hantaran ucapan terima kasih kepada semua penyokong dan berharap dapat hadir semula pada aksi final menentang Kuala Lumpur City FC pada 22 Julai 2023.

“Kalau setiap game macam ni. Sign players mahal mahal pun takpa. Puas hati. Apa apa pun terima kasih,” tulisnya di ruangan komen itu.

Sebelum ini, TMJ sering menegur tindakan penyokong JDT yang dilihat sudah mula tidak mahu turun ke stadium dan memilih perlawanan tidak seperti pada tahun-tahun awal penubuhan kelab pada 2013.

Namun begitu, kehadiran penyokong JDT untuk musim ini boleh dipuji apabila mencatatkan jumlah kehadiran tertinggi dalam kesemua perlawanan yang berlangsung di Iskandar Puteri secara purata.