TUNKU Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) bersetuju untuk mengurniakan RM300,000 kepada semua negeri untuk menyelenggara padang.

Namun kurniaan ini hanya akan disalurkan apabila setiap negeri bersetuju mengambil geran Penambahbaikan Saliran dan Penanaman Rumput bernilai RM500,000 yang disediakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

KBS telah bersetuju untuk menawarkan geran bernilai RM500,000 kepada setiap negeri untuk menyelenggara sistem saliran sebanyak RM300,000 dan penukaran rumput berjumlah RM200,000 kepada setiap negeri.

Geran tersebut telah diumumkan oleh Menteri Belia Dan Sukan, Hannah Yeoh dalam sidang media ketika Mesyuarat Pengelolaan Liga Malaysia dan Taklimat Pengurusan Stadium dan Venue Liga Malaysia Musim 2024-25 di Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.

“Kita telah memberi tawaran kepada setiap negeri geran bernilai RM500,000 yang merangkumi dua aspek iaitu RM300,000 untuk pembaikan saliran dan RM200,000 bagi penanaman rumput dengan syarat setiap negeri perlu lakukan komitmen mereka sebelum bulan Mei.

“Selepas selesai penambahbaikan saliran dan penanaman rumput, barulah wang kurniaan Tunku Mahkota Johor akan disalurkan untuk penyelenggaraan padang itu selama 12 bulan.

“Setiap negeri perlu menulis kepada KBS dan mencalonkan satu lokasi yang akan digunakan untuk perlawanan liga, katanya dalam sidang media yang turut dihadiri Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan serta Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Stuart Ramalingam.

Sementara itu, Stuart melihat transisi kalendar Liga Malaysia musim 2024-25 ini memberi peluang kepada negeri-negeri untuk menaik taraf stadium dan MFL sedia mencari jalan penyelesaian bagi membantu negeri yang memerlukan lebih masa.

“Empat bulan sebelum liga bermula ini adalah satu peluang dan bukan kekangan masa. Kami juga akan mencari jalan penyelesaian bagi mana-mana negeri yang memerlukan lebih banyak masa dengan MFL mempunyai beberapa pilihan yang boleh digunakan ketika transisi ini,” katanya.

Inisiatif ini di ambil sebagai langkah untuk menaikkan mutu permainan Liga Super dengan keadaan padang yang baik dan juga dapat mengelakkan kecederaan kepada pemain sekaligus dapat membantu meningkatkan kualiti skuad bola sepak kebangsaan.