PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga Pemangku Sultan Johor, DYAM Tunku Mahkota Ismail menegur sikap beberapa pihak yang masih mempunyai mentaliti bodoh sombong yang sentiasa mahu menjatuhkan standard Liga Malaysia berbanding liga-liga Asia Tenggara yang lain.

Ini selepas Tunku Mahkota Ismail memuat naik hantaran di instastory peribadinya mengenai keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil yang kembali mendapat perhatian ramai menjelang aksi Harimau Malaya bertemu Oman pada Selasa.

Keadaan padang di ‘Home of Harimau Malaya‘ itu dikatakan belum pulih sepenuhnya selepas mengadakan konsert pada Februari dan dibandingkan dengan gelanggang rasmi Thailand, Stadium Rajamangala yang padangnya kelihatan cukup cantik oleh netizen.

Tangkap layar instastory Pemilik JDT

“Bukan SNBJ sahaja. Semua stadium dalam negara sama, berlopak ketika hujan. Yang tidak berlopak adalah SSI di Johor. Itu adalah fakta. Cow grass mempunyai tanah liat bercampur dengan tanah gambut. Itu buatkan air susah nak serap.

“Kita juga satu-satunya negara Asia Tenggara yang masih sanjung rumput lembu. Fasiliti dan infra bola sepak teruk. Mentaliti bodoh sombong, cepat puas hati, selesa, tidak boleh terima fakta dan sentiasa ada alasan untuk jatuhkan standard liga kita,” jelas hantaran itu.

Tunku Mahkota Ismail turut mengingatkan bahawa jika keadaan dan mentaliti tidak diubah, Liga Malaysia akan terus ketinggalan dari segi infrasruktur sekaligus tidak dapat menghasilkan liga yang lebih berkualiti.

Pemasangan rumput jenis Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Thailand dah atas kita, Indonesia juga atas kita dari segi infra dan kalau mentaliti tidak berubah, liga dari negara lain seperti Vietnam, Kemboja dan Filipina akan pintas kita dari segi infra bola sepak yang memainkan peranan penting dalam melahirkan kualiti dan standard liga. Semoga berjaya,” tambahnya.

Sebelum ini Kementerian Belia dan Sukan telah bersetuju untuk memberikan geran bernilai RM500,000 kepada setiap negeri untuk menaiktaraf saliran padang dan rumput serta Tunku Mahkota Ismail menaja RM300,000 bagi tujuan penyelenggaraan padang bagi memastikan keadaan padang di semua stadium di Malaysia mencapai standard antarabangsa.