PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim nyata gembira dengan kejayaan skuad JDT III yang berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Presiden selepas menewaskan Negeri Sembilan 2-0 pada final kedua di Pasir Gudang untuk kemenangan mutlak 5-1 secara agregat.
Dua gol masing-masing dari Fergus Tierney dan Raziq Rahman pada babak kedua sudah cukup untuk memberikan kejuaraan kedua berturut-turut buat skuad Piala Presiden JDT sekali gus membuktikan kualiti yang ada pada pemain-pemain muda keluaran Akademi JDT.
Menerusi hantaran di insta story peribadinya, Tunku Ismail mengucapkan tahniah kepada bintang-bintang muda Harimau Selatan yang mengikut jejak langkah skuad senior yang baru-baru ini muncul juara Liga Super buat kali ke-10 berturut-turut.
Tunku Ismail yang kini di Bangkok untuk memberikan sokongan kepada JDT yang akan bertemu BG Pathum United untuk perlawanan kedua Liga Juara-Juara AFC memuat naik hantaran yang pastinya menambahkan lagi kemanisan kemenangan yang dikecapi skuad muda itu.
“Tahniah kepada bintang-bintang masa depan saya, JDT III. Kami semua bangga dengan anda,” tulisnya menerusi hantaran itu.
Kejayaan JDT III menjulang trofi Piala Presiden itu juga menjadikannya trofi ke-53 buat JDT bermula dari skuad senior hingga skuad B-12 tahun sejak kelab itu ditubuhkan pada 2013.
Ini juga membuktikan JDT semakin banyak melahirkan bakat-bakat baharu bola sepak tempatan menerusi Akademi JDT yang menekankan aspek latihan bola sepak profesional beserta kepentingan pendidikan buat semua pelatih.