KEJAYAAN Kedah Darul Aman FC mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-3 dalam aksi dramatik Liga Super di Stadium Darul Aman pada Sabtu mendapat perhatian pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Jaringan minit akhir oleh Amirbek Juraboev menangguhkan sambutan kejuaraan Liga Super kesepuluh berturut-turut JDT dan satu mata berharga itu mampu membantu Sang Kenari untuk merebut tempat kedua sekaligus layak ke pertandingan Asia musim hadapan.

Tunku Ismail membuat hantaran komen di laman sosial Instagram rasmi Kedah Darul Aman FC selepas laman itu memuat naik keputusan masa penuh perlawanan yang menyaksikan Kedah menjadi pasukan pertama mencuri mata dari Harimau Selatan.

 

“Mudah-mudahan ke Asia. Semoga menang beberapa baki game liga,” komen TMJ kepada hantaran tersebut yang memperlihatkan sikap terbuka pemilik kelab paling berjaya di Malaysia itu meskipun keputusan seri ini menangguhkan musim gemilang JDT.

Komen itu turut dibalas oleh Kedah Darul Aman FC yang menyatakan “Menjunjung Kasih Tunku”, sebagai tanda terima kasih atas perhatian dan sokongan yang diberikan Tunku Ismail kepada kelab utara tanah air itu.

Sejak JDT menjuarai Piala AFC pada 2015 dan Kuala Lumpur City FC layak ke final kejohanan yang sama pada 2022, semakin banyak kelab-kelab tempatan yang mula merasakan kepentingan beraksi di peringkat benua dan masing-masing mula meletakkan sasaran untuk layak ke Asia.

Malaysia kini mempunyai tiga wakil di kejohanan Asia dengan juara Liga Super akan mendapat slot automatik ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC manakala tempat kedua liga dan juara Piala FA akan mendapat slot ke peringkat kumpulan Piala AFC.

Kedah kini bersaing rapat dengan Selangor dan Sabah bagi merebut tempat kedua liga dan satu mata itu sangat berharga terutama apabila memasuki hari terakhir perlawanan liga pada Disember.