PEMILIK Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilihat berbangga apabila melihat keadaan terkini padang di Stadium Nasional Bukit Jalil yang selesai dipasang dan kelihatan menghijau cantik rumput jenis Zeon Zoysia itu.
Pada Mac, TMJ telah mengurniakan tajaan rumput Zeon Zoysia kepada Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) bernilai RM1 juta bagi memastikan kualiti padang di stadium terbesar negara itu berada pada tahap yang terbaik.
Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) dan PSM sebelum ini telah mengambil keputusan untuk menggantikan rumput sedia ada kepada jenis Zeon Zoysia dan yakin penggunaan rumput ini mampu menyelesaikan isu kualiti padang di stadium itu.
Selain itu, semua jadual penganjuran acara lain seperti konsert atau pun perhimpunan akan dirancang dengan lebih teliti selari dengan SOP penyelenggaraan padang bagi memastikan lapangan tersebut sentiasa berada dalam keadaan yang baik.
Kerja-kerja pemasangan rumput itu telah dilakukan pada awal Ogos lalu dan kini keseluruhan kawasan lapangan stadium itu telah siap dipasang dan gambarnya dikongsi sendiri TMJ menerusi hantaran di insta story peribadinya.
Tunku Ismail juga memuat naik kapsyen “I don’t talk, I win and I execute” yang membuktikan dia tidak membuat cerita dongeng sebaliknya melaksanakan apa yang dikatakan.
Padang itu dijangka akan digunakan secara kompetitif ketika kejohanan Pestabola Merdeka yang bakal berlangsung dari 13 hingga 17 Oktober melibatkan empat pasukan — Malaysia, Palestin, India dan Tajikistan.
Setelah selesai pemasangan rumput itu, Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi stadium kedua di Malaysia yang mempunyai lapangan Zeon Zoysia selepas Stadium Sultan Ibrahim yang sudah pun menggunakan rumput jenis itu sejak tahun 2020.