AKSI final TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2024 kategori perempuan menyaksikan SSTMI PKS Uniten dan Mutiara-MSSPP-PSHA-PKS Uniten bakal berentap merebut gelaran juara.
Kejayaan SSTMI PKS Uniten menewaskan KL City –KLSS 4-2 dan MUTIARA-MSSPP-PSHA-PKS Uniten yang meraih kemenangan 2-0 ke atas SMKSMAB/PPDKS/MSNK pada aksi separuh akhir di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, semalam membawa kedua-dua pasukan ke perlawanan akhir.
Kejayaan skuad bimbingan A.N Leo Vincey mempertahankan dua gol yang dijaringkan bermula pada minit kelapan menerusi pukulan sudut penalti oleh Nurin Syazwani Rusli dan gol padang Delia Qaseh Rezarel Khairil Azhar pada minit ke-45 nyata memberikannya rasa puas.
Beliau juga dalam pada itu menyifatkan semangat berjuang bermati-matian yang dimiliki anak-anak buahnya adalah kekuatan mereka dalam meraih kemenangan.
“Apabila hujan turun, kami hilang kelebihan kami iaitu kelajuan pemain, namun pemain berjaya bangkit mencari gol untuk meletakkan kami di hadapan dan seterusnya menutup perlawanan dengan kejayaan.
“Beraksi di final juga merupakan satu kejayaan buat pasukan kerana dua tahun lalu, salah satu pasukan yang bermain dalam liga tahun ini telah membelasah kami 18-0. Selepas dua tahun, dengan barisan pemain yang sama ketika dibelasah 18-0, pasukan ini kini berada di final.
“Ini adalah hasil daripada kerja keras dan semangat yang tidak kenal putus asa untuk terus memperbaiki diri dan pasukan.
“Di atas kertas, kami mengakui SSTMI PKS Uniten adalah pasukan terbaik dalam liga perempuan tetapi peluang di depan mata kami untuk melakukan kejutan dan apa yang perlu kami lakukan hanya berusaha keras,” jelasnya selepas tamat perlawanan.
Dalam pada itu lawan yang menanti mereka di pentas final, SSTMI PKS Uniten, yang akan membuat penampilan untuk tahun ketiga berturut-turut pastinya mahu mengekalkan kejuaraan yang dimenangi mereka pada tahun 2022 dan 2023.
Jelas Ketua Jurulatih SSTMI PKS Uniten, Mohd Khairul Izwan Kamdi, lapan pemain daripada pasukannya tahun ini merupakan pemain daripada skuad yang muncul juara pada dua tahun berturut-turut dan berharap pengalaman yang dimiliki oleh pemain-pemain ini dapat membantu pasukannya muncul juara hatrik (tiga tahun berturut-turut).
Bagaimanapun, beliau mengakui aksi final bukan perlawanan yang mudah dan lawan mereka Mutiara-MSSPP-PSHA-PKS Uniten disifatkan sebagai satu pasukan yang baik.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan aksi yang ditampilkan pasukan hari ini tetapi kami perlu memperbaiki beberapa aspek menjelang perlawanan akhir terutamanya menyudahkan peluang di depan gol dan juga pukulan sudut penalti.
“Untuk aksi final, sudah pasti tekanan lebih tinggi untuk kami namun apa yang penting adalah kami perlu bermain mengikut cara kami dan kekuatan kami selain kekal fokus sehingga tamat perlawanan,” jelasnya.