PELUANG terhidang pasti tidak disia-siakan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk mara ke pentas final Piala TNB sekali gus memenuhi impian meraih gelaran treble pada saingan Liga Hoki Malaysia (MHL) musim ini.

Pada Selasa, skuad bimbingan Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang meraih kemenangan 3-1 ke atas UITM HA-KPT dalam aksi separuh akhir pertama pasti akan lebih bersemangat pada pertemuan kedua esok.

TNB sebelum ini sudah menjulang dua trofi, iaitu Piala Sumbangsih dengan menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) awal bulan lalu dan kemudian mengesahkan kejuaraan liga sekali gus menamatkan kemarau 21 tahun.

Pemain TNB (kanan/merah) selesa mengawal permainan pada pertemuan separuh akhir pertama menentang UiTM HA-KPT. -Pix HOKITA

Terbaharu, mereka meraih gelaran MHL keenam selepas memenangi liga pada 1990, 1991-92 (bertanding sebagai Kelab Kilat), 2000-2001, 2002 dan 2003.

Nor Saiful jelas tidak mahu barisan pemainnya mensia-siakan peluang itu sekali gus menuntut aksi lebih mantap di separuh akhir kedua.

“Untuk aksi timbal balik, TNB akan bermain dengan lebih baik dan tidak akan bersandarkan kepada jaringan 3-1 yang terhasil hari ini (semalam).

Pemain TNB (kanan/merah) selesa mengawal permainan pada pertemuan separuh akhir pertama menentang UiTM HA-KPT. -Pix HOKITA

“Kami akan berusaha untuk mencari peluang yang lebih baik dan menjaringkan gol.

“Kami akan bermain mengikut kekuatan pasukan dan saya berharap pemain akan menggandakan lagi usaha mereka pada separuh akhir kedua agar kami dapat melangkah ke pentas akhir,” kata legenda skuad hoki negara itu.

Pada aksi semalam, pemain kebangsaan, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal meledak dua gol manakala sensasi Korea Selatan, Jang Jong Hyun menyumbang satu gol untuk TNB.

Pemain THT tiada masalah mengatasi Maybank dalam satu lagi aksi separuh akhir. -Pix HOKITA

Satu lagi aksi separuh akhir kedua esok akan menyaksikan pertembungan antara juara bertahan, THT dengan Maybank namun THT mempunyai kelebihan selepas meraih kemenangan 3-0 pada aksi pertama, semalam.

Gol pembukaan THT dijaringkan oleh kapten pasukan, Mohd Fitri Saari menerusi penalti stroke diikuti dua gol padang masing-masing disumbangkan oleh Muhammad Noor Firdaus Rosdi dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook.