FOTO KREDIT : MFL

SRI Pahang FC bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 4-3 dalam aksi pusingan kedua Liga Super di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.

Perlawanan berlangsung seimbang dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan namun NSFC terlebih mendahului pada minit kelapan.

Ia menerusi tandukan pemain posisi pertahanan Herold Goulon yang kembali semula ke pangkuan pasukan untuk menewaskan penjaga gol Sri Pahang, Izham Tarmizi Roslan.

Kelonggaran benteng tuan rumah terus dihukum jaringan kedua dari kaki kiri Shahrel Fikri yang langsung tidak dikawal bagi menambah jaringan buat skuad Jang m-15.

Namun SPFC merapatkan jurang menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Stefano Brundo pada minit ke-23. Tidak sampai seminit, skuad Jang kembali meledak hasil rembatan kaki kiri Casagrande yang menerima hantaran jauh dari kawasan sendiri.

Memasuki separuh masa kedua, Tok Gajah enggan mengalah dengan melancarkan serangan bertali arus dan hasilnya mereka memperoleh gol kedua hasil jaringan pemain gantian, David Rowley yang menyudahkan tandukan hantaran penyerang import dari Liberia, Kpah Sherman pada minit ke-79.

Petanda kebangkitan Pahang bermula pada penghujung babak kedua apabila Brundo menyempurnakan sepakan percuma cantik terus menerjah jaring diikuti gol sensasi Sherman m-90+3 sekali gus tiga mata diperoleh pasukan Fandi Ahmad.

Selepas 14 perlawanan, Pahang kini memperoleh 28 mata manakala Negeri Sembilan kekal di tangga kesembilan dengan 18 mata.