SABAH FC menafikan hajat Sri Pahang FC untuk bangkit pada babak kedua apabila meraih kemenangan 3-2 dalam aksi Liga Super 2024-25 di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee bertahan secara baik pada keseluruhan babak kedua selepas selesa mendahului 3-1 pada babak pertama hasil jaringan Jaffri Chew, Farhan Roslan dan Daniel Ting.

Meskipun ketinggalan 1-0 seawal minit keenam menerusi jaringan Kpah Sherman, Sang Badak tidak putus harapan dan terus menyerang kubu Tok Gajah dan berhasil membawa pulang tiga mata penuh ke Kota Kinabalu.

Sri Pahang yang berjaya mencatat dua keputusan seri sebelum ini perlu menyalahkan diri sendiri apabila tidak berjaya menjaringkan gol penyamaan meskipun mempunyai deretan peluang yang terhidang.

Pengendali Sabah mahu pemainnya mengekalkan momentum kemenangan ini terutama apabila bermain di tempat lawan dan gembira kerana berjaya bangkit dari kekalahan untuk mengutip tiga mata penuh di Temerloh.

“Kami bernasib baik kerana Pahang gagal sempurnakan peluang yang ada dan kami juga bertahan dengan baik pada babak kedua tetapi saya gembira kerana kami berjaya mendapatkan tiga mata selepas tewas kepada Kuala Lumpur sebelum ini,” jelasnya.

Sementara itu ketua jurulatih Sri Pahang, Fandi Ahmad menganggap pasukannya tidak bernasib baik kerana tidak berjaya mendapatkan gol penyamaan meskipun menguasai sepenuh permainan pada babak kedua.

“Kami perlu salahkan diri sendiri kerana sedikit lalai pada babak pertama tetapi kami gagal menyudahkan peluang pada babak kedua dan saya menganggap kami tidak bernasib baik walaupun ini adalah perlawanan terbaik kami setakat ini,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Kekalahan ini menyaksikan Sri Pahang turun ke tangga kesepuluh liga dengan enam mata manakala Sabah FC pula naik seketika ke tangga ketiga dengan 13 mata selepas berakhir tujuh perlawanan.