SELEPAS lapan musim bermain bunga api, bekas pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) Mohd Fadhli Mohd Shas akhirnya menyertai Sri Pahang FC.
Menyifatkan Tok Gajah memiliki ramuan yang lengkap untuk bersaing musim depan, bekas pemain Harimau Muda berusia 31 tahun ini mengikat kontrak bagi tempoh dua musim (2023-2024).
Mendedahkan bakatnya turut diidamkan beberapa pasukan lain, Mohd Fadhli memilih Sri Pahang FC yang serius mendapatkannya selain kehadiran beberapa pemain baharu dalam pasukan.
“Memang saya ada menerima beberapa tawaran lain tetapi akhirnya saya buat keputusan bersama Sri Pahang kerana yakin pasukan dilihat cukup serius untuk kembali bangkit menjadi pencabar.
“Saya teruja dengan perancangan pasukan dengan melihatkan kehadiran muka-muka baharu, saya rasa Sri Pahang mampu menjadi salah satu pencabar kejuaraan.
“Malah, ada beberapa pemain di sini saya turut kenali seperti Muslim Ahmad, yang merupakan gandingan saya ketika memenangi pingat emas Sukan SEA dan Piala AFF,” katanya.
Mohd Fadhli telah bersama Harimau Selatan selama lapan musim iaitu bermula 2014 sehingga 2021 sebelum ke Melaka secara pinjaman pada musim lalu.
Dia menjadi pilihan utama di bahagian pertahanan tengah apabila dari 22 perlawanan Liga Super, Fadhli diturunkan dalam 15 aksi dalam kesebelasan utama dan hanya sekali selaku pemain gantian.