SRI Pahang FC menamatkan rentetan rekod lima perlawanan tanpa menang dalam aksi Liga Super apabila menumpaskan Selangor FC 2-0 di Stadium Darul Makmur, Kuantan sebenar tadi.

Bagaimanapun, pelawat dilihat mendominasi terutamanya pada 30 minit awal permainan termasuk percubaan Alif Haiqal Lokman Hakim Lau menggegar palang gol m-17.

Kebuntuan jaringan berjaya dipecahkan oleh penyerang import Colombia, Andres Steven Rodriguez Ossa yang meletakkan Si Pahang di depan menerusi satu serangan balas m-34.

Pintu gawang Selangor dikemudi Samuel Somerville bocor kali kedua dalam masa lima minit apabila Abdul Malik Mat Arif menggandakan kelebihan buat tuan rumah.

Merah Kuning cuba merapatkan kedudukan m-76 tetapi tandukan pemain pertahanan, Yazan Mousa Mahmoud Al-Arab sekadar menuju ke arah kiri luar gawang gol lawan.

Kemenangan yang dilakar pemain Dollah Salleh adalah pertama dalam saingan liga sejak kali terakhir menewaskan Kuala Lumpur City FC, 2-1 pada 7 Mei lepas.

Skuad Tok Gajah kini mengutip 11 mata hasil tiga menang dan dua seri selepas beraksi 13 perlawanan.