MANTAN Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail yang digantung 17 tahun bakal kembali mewarnai sukan sepak takraw kebangsaan dan antarabangsa.
Perkembangan terbaharu ini berikutan kesediaan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) dan Persekutuan SepakTakraw Asia (ASTAF) mempertimbangkan semula hukuman penggantungan yang dikenakan keatas Ahmad atau lebih mesra dengan panggilan ‘Tok Mat’.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Halim Kader menjelaskan baik ISTAF mahupun ASTAF tidak pernah sesekali menutup peluang buat Tok Mat kembali dalam sukan sepak takraw.
“Mungkin esok atau lusa saya boleh buat sokongan agar ISTAF mahupun ASTAF mempertimbangkan agar mengurangkan hukuman yang dikenakan keatasnya.
“Saya tidak katakan yang Tok Mat tidak boleh kembali dałam sepak takraw dan sedia buka pintu menimbangkan keputusan kami sebelum ini.
“Tetapi sekarang perjalanan PSM berjalan dengan baik, mungkin tiba masanya kami boleh gunakan pengalaman yang ada padanya (Tok Mat) untuk masuk Task Force Road to Olimpik,” katanya.
Halim yang juga Presiden ASTAF menjelaskan namun buat masa ini tumpuan lebih terarah untuk menyelesaikan permohonan PSM untuk kembali menjadi ahli gabungan ISTAF dan ASTAF.
“Sekarang ini saya punya tugas untuk selesaikan (kemelut) PSM dulu, kita manusia hari ini kita jadi pemimpin, besok kita boleh turun ke bawah, jadi sebagai pemimpin kita mempunyai hati yang jujur, cekal, ikhlas dan lihat perkembangan.
“Saya tidak melihat Ahmad Ismail tidak boleh kembali ke sepak takraw, saya sedia buka pintu mempertimbangkan kembali keputusan kami, siapa tahu satu hari ini PSM yang akan merayu bagi pihak Ahmad Ismail kepada kami.
“Kami alu-alukannya,” tegasnya.
Sebelum ini pada Mei 2021, (ASTAF) mengenakan hukuman penggantungan 15 tahun terhadap Tok Mat atas selepas didakwa melanggar beberapa peraturan yang digariskan badan induk sepak takraw Asia itu.
Antara pertuduhan adalah melanggar Artikel 5.5 Perlembagaan ASTAF apabila Ahmad menghantar surat kepada Majlis Olimpik Asia (OCA) dan salinannya kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dengan meminta dua badan berkenaan untuk campur tangan dalam Pemilihan Ahli Majlis Astaf pada 1 Mac lalu.
Hukuman tersebut turut ditambah dua tahun lagi selepas Ahmad gagal melunaskan kos perbicaraan tatatertib yang berjumlah AS$25,000 (RM103,625) sebelum ini.