MUNGKIN tidak keterlaluan untuk mengatakan pasaran Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dilihat masih tidak mencapai potensi sebenarnya biarpun penswastaan kelab telah diaktifkan sejak empat tahun yang lalu.

Nilai komersial bola sepak Malaysia masih belum lagi dilihat menjadi salah satu kuasa dominasi besar buat industri ekonomi negara biarpun sukan ini menjadi paling popular dan memiliki ramai pengikut-pengikutnya.

Penulis tidak mahu mengulas panjang mengenai cabaran yang ditempuhi oleh pasukan Liga Malaysia ketika era pandemik COVID-19 sebagaimana seluruh dunia berdepan masalah yang sama.

Penafian, penulis tidak berminat untuk menuding salah atau betul kepada mana-mana pihak dalam konteks ini cuma penulis yakin ramai dalam kalangan penyokong memikirkan persoalan sama di mana adakah nilai pasaran Liga Malaysia mampu berkembang dengan lebih jauh?

May be an image of 3 people, people playing American football, people playing football and text

Timbul persoalan dalam kalangan peminat bola sepak, adakah nilai pasaran Liga Malaysia mampu berkembang dengan lebih jauh?

Dalam budaya bola sepak tempatan, pelbagai format atau struktur kejohanan telah pun diubah oleh MFL mengikut kesesuaian milineum yang pasti sahaja sarat dengan muatan cabaran reformasi.

Pun begitu, penulis berpendapat kebanyakan pihak khususnya berkait rapat dengan bola sepak tempatan agak pasif untuk mengenalpasti beberapa pasaran yang boleh diketengahkan.

Sejujurnya penulis melihat bahawa terdapat peluang-peluang besar dalam industri bola sepak di Malaysia daripada segi penjanaan pendapatan baik melalui liga, bola sepak wanita, futsal dan pembangunan akar umbi.

Namun agak mengekang potensi kita di mana selagi kita terus mempunyai isu pengurusan asas dalam menguruskan pasukan bola sepak, ia akan menghalang syarikat-syarikat besar untuk memasuki dan menyokong sistem tersebut.

Justeru, mungkin sudah tiba masanya pengurusan pasukan bola seperti kelab-kelab Liga Malaysia harus berani mengambil pendekatan untuk membawa masuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) korporat yang mempunyai tenaga dan dorongan untuk melihat perkara secara berbeza.

May be an image of American football, football and text

Pasukan JDT dan Terengganu diuruskan secara profesional.

Malah ia mungkin mampu memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada industri dan negara untuk bola sepak Malaysia di mana kepakaran mereka mampu mengadunkan satu kombinasi usaha yang padu membabitkan perniagaan dalam sukan bola sepak.

Kita juga tidak mahu Liga Malaysia hanya makmur daripada segi semangat kesukanan tetapi muflis nilai segi ekonomi di mana masa depan sentiasa menjanjikan cabaran di luar jangkaan.

Lebih mustahak Liga Malaysia tidak boleh lagi mengamalkan satu sikap di mana kita mahu memberikan pendapat tetapi dalam masa yang sama tidak boleh dikritik.

Justeru penulis berpendapat kita perlu mengorak langkah untuk mendapatkan kepimpinan korporat perniagaan yang memiliki jiwa sukan dan sudah tiba masanya kita tidak wajar hanya akur dengan arus yang sama selama ini.

May be an image of 3 people and text

Liga Malaysia masih diminati penyokong bola sepak sejati yang sanggup turun ke stadium menyokong pasukan kegemaran.

Untuk memastikan potensi sebenar Liga Malaysia berjaya dicapai adalah menuntut komitmen dan pengertian serius semua pihak selaras misi menampilkan wajah baru disulami tekad.

Deduksinya, penulis optimis bahawa sudah tiba masanya tokoh-tokoh korporat diberikan peranan atau peluang dalam indusri bola sepak negara bukan hanya kita menopang dagu sahaja dengan cara konvensional.

Akhir kata daripada penulis, penulis berharap biarlah sukan bola sepak itu tunjangnya dapat dipaterikan dengan tokoh korporat yang sudah pasti memiliki konotasi demi kemaslahatan bersama.