KETUA Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin mahu bertemu dengan Lee Zii Jia, bagi membincangkan keputusan perseorangan lelaki negara itu untuk tidak menyertai program Road To Gold (RTG).
Beliau yang juga Timbalan Presiden MOM berkata, pertemuan itu bertujuan untuk berbincang mengenai perkara itu sekali gus memberi teguran kepada Zii Jia yang tidak mahu menyertai RTG sebagai persediaan ke Sukan Olimpik Paris 2024.
“Selepas dia menolak (RTG) saya tidak berkesempatan berjuma dia (Zii Jia), saya tidak mahu pujuk (masuk RTG), saya hanya mahu jumpa dia untuk bercakap dengan dia. Kalau boleh saya ‘simbah’ dia, saya ‘simbah’ dengan teguran.
“Itu keputusan dia, jadi semua pihak boleh menilai. Kita mewakili Majlis Sukan Negara (MSN) dan MOM mengharapkan dia boleh perform dalam Olimpik kalau dia layak,” katanya.
Zii Jia kini menghuni kedudukan ke-11 dunia, sebelum ini membuat keputusan untuk ‘mendiamkan diri’ hingga hari terakhir sebelum menjawab kepada jawatankuasa RTG seolah-olah petanda bahawa beliau tidak akan menandatangani persetujuan komitmen (LOC) di bawah program itu.
Selasa lalu, jawatankuasa RTG dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan Zii Jia tidak lagi terlibat dalam program tersebut selepas Team LZJ yang mewakili atlet berusia 25 tahun itu memberi jawapan menerusi mesyuarat atas talian.
Menerusi pertemuan tersebut, Zii Jia diwakili jurulatihnya Wong Tat Meng serta Liew Daren dan pengurusnya Lee Zii Yi menerangkan pendirian diambil atlet itu untuk tidak menyertai program tersebut, selain tidak lagi memerlukan bantuan tambahan bakal dinikmatinya.
Walau bagaimanapun, pasukan LZJ telah memberi jaminan bahawa mereka akan terus bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan menjelang temasya sukan terbesar dunia itu tahun depan.
Dalam pada itu, Hamidin mengesahkan satu pertemuan bersama empat atlet yang telah layak ke Olimpik Paris 2024, sedang diatur untuk mendapatkan perkembangan terkini atlet terbabit.
“Saya akan berjumpa mereka tidak lama lagi, dalam masa sama saya berharap akan ada lebih ramai atlet kita layak.
ARTIKEL BERKAITAN : Lee Zii Jia sah tidak tandatangan LOC sertai RTG
“Saya tidak pasti berapa ramai akan layak kerana pusingan kelayakan mengikut acara sukan berbeza-beza, malah ada yang hanya dapat ditentukan pada Jun tahun hadapan,” kata Hamidin.
Malaysia kini mempunyai empat wakil yang akan beraksi di temasya sukan terbesar dunia itu pada tahun hadapan termasuk Bertrand Rhodict Lises (terjun), Nur Shazrin Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak) dan Ariana Nur Dania Zairi (memanah recurve), manakala satu lagi slot acara berbasikal lebuhraya telah diberikan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) kepada Malaysia.