PENGENDALI skuad Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner menyatakan kebimbangan mengenai status kecederaan Ivan Mamut yang memasuki tempoh enam bulan tidak dapat bersama dengan pasukan.
Ianya sekali gus tidak menidakkan perancangan ketua jurulatih 57 tahun itu untuk mencari pemain baharu yang mungkin akan dibawa masuk sewaktu jendela perpindahan kedua pemain dibuka nanti.
Walau bagaimanapun, Tomislav memaklumkan bahawa keputusan muktamad masih belum dibuat kerana baru sahaja berbincang mengenai pengambilan pemain baharu ini dua hari lalu, bersama dengan pihak pengurusan Terengganu FC.
“Pada mulanya, kita rasa Ismaheel Akinade seorang pengganti sementara buat Ivan Mamut tetapi sekarang sudah enam bulan Ivan terkeluar dalam senarai pemain, saya juga tidak tahu bila dia akan kembali bersama kita semula.
“Dengan itu, kami memandang ke hadapan dan bercadang semasa jendela perpindahan kedua nanti, mungkin kita akan ambil pendekatan untuk rekrut pemain baharu terutama di bahagian serangan.
“Saya sudah berbincang perkara ini dua hari lalu bersama dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), pihak pengurusan, dan yang lain. Kita perlu ambil keputusan kerana kita tidak tahu apa yang akan terjadi terhadap status Ivan, bila dia akan kembali semula.
“Kita juga mempunyai sasaran tinggi musim ini, sekarang Piala FA, selepas ini Shopee Cup dan sudah tentu Liga Super. Jadi, kita letakkan jangkaan tinggi dan tidak dinafikan bahawa tanpa Ivan, kita tidak sekuat yang kita fikir sebelum ini,” ujar Tomislav ketika ditemui selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala FA 2024 pada Jumaat.
Beliau juga menambah bahawa segala proses berkaitan pengambilan pemain baharu atau mengenai perjalanan Ivan bersama skuad Sang Penyu, harus berpaksikan kewangan pasukan.
Dalam masa yang sama, kemenangan 3-2 terhadap Selangor FC pada aksi separuh akhir pertama Piala FA 2024 telah membuktikan bahawa Sang Penyu sedang berada di landasan terbaik untuk memburu jaringan seterusnya di Stadium MBPJ.
Aksi penentuan ke pentas final Piala FA itu nanti akan berlangsung pada 3 Ogos, dan Tomislav beranggapan bahawa satu gol juga memadai di gelanggang Gergasi Merah, jika barisan pertahanan bermain lebih cemerlang pada hari perlawanan tersebut.
“Satu jaringan di MBPJ mencukupi kalau pertahanan kita bermain lebih baik daripada hari ini, mungkin satu gol cukup. Tetapi kita tidak tahu apa kejadiannya nanti. Kita tidak pernah kalah selepas final Piala Malaysia Disember lalu, jadi saya puas hati jika kita menang seri,” katanya.