PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner menjangkakan satu lagi aksi sukar bertemu Kuala Lumpur City FC seperti dua pertemuan sebelum ini yang menyaksikan skuad Penyu masih mencari kemenangan pertama ke atas skuad Warga Kota.

Dalam dua aksi sebelum ini, kedua-dua pasukan masih belum mampu menjaringkan gol sepanjang 90 minit perlawanan apabila terikat tanpa jaringan dalam aksi Liga Super dan sekali lagi dalam pertandingan Piala FA sebelum KL City keluar sebagai pemenang menerusi penentuan penalti.

“Saya jangkakan perlawanan yang hampir sama dengan dua aksi sebelum ini dan saya percaya hanya ‘individual brilliance’ sahaja yang boleh menentukan atau mengubah keputusan perlawanan ini,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

 

Tomi juga gembira dengan keadaan pasukan yang berada dalam suasana baik dan harmoni selepas menewaskan Kedah pada Isnin meskipun bakal turun tanpa tiga tonggak utama yang mengalami kecederaan

Selepas meraih kemenangan tempoh hari, keadaaan dalam pasukan cukup bagus dan saya jangkakan satu lagi perlawanan sukar tetapi ianya bagus untuk persiapan kami menghadapi musim yang masih panjang.

“Tiga pemain tidak boleh beraksi akibat kecederaan. Habib Haron, Adisak Kraisorn dan Azam Azmi Murad tidak dibawa ke Kuala Lumpur dan menjalani tempoh pemulihan di Terengganu,” tambahnya.

Kemenangan ke atas Kedah Darul Aman FC melonjakkan Terengganu FC ke tangga keenam liga mengatasi KL City yang juga mengutip 23 mata selepas 15 perlawanan namun dipisahkan oleh perbezaan jaringan.