PENGENDALI Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berpuas hati kerana margin gol yang besar berjaya dijaringkan para pemainnya sekaligus akan menjadikan perlawanan kedua di Kuala Terengganu nanti lebih mudah.
Dia juga gembira dengan hatrik yang diledak penyerangnya, Ivan Mamut dan mahukan pemain itu terus mengekalkan momentum terbaik dalam menjaringkan gol bagi membantu Terengganu terus mencipta kejayaan.
Tomislav yang ditemui dalam sidang media selepas menewaskan Kuala Lumpur Rovers 4-0 dalam perlawanan Pusingan 16 Piala Malaysia itu juga berpuas hati kerana dapat memberikan minit permainan kepada pemain yang kurang mendapat tempat dalam Liga Super serta pemain dari skuad B-23 tahun.
“Saya gembira dengan keputusan dan permainan ini kerana berjaya menjaringkan empat gol dan menjadikan saingan kedua nanti lebih mudah. Saya berikan peluang kepada beberapa pemain yang kurang bermain sebelum ini dalam Liga Super.
“Secara keseluruhan, saya berpuas hati walaupun perlawanan ini nampak seperti mudah tetapi sejak awal ianya adalah perlawanan yang sukar.
“Ivan menjaringkan tiga gol dan mungkin boleh menjaringkan lebih lagi. Dia perlu menjaringkan gol kerana dia mempunyai kualiti tetapi kadang kala saya mengharapkan lebih darinya. Hari ini tiga gol baik untuknya dan juga pasukan dan saya jangkakan persembahan yang sama pada perlawanan akan datang,” jelasnya.
Margin selesa ini juga akan digunakan oleh Tomislav untuk merehatkan pemain utama pada perlawanan timbal balik dan memberikan lebih ruang buat pemain muda beraksi di hadapan penyokong sendiri.
“Kami selesa mendahului empat gol dan ini adalah sasaran kami supaya kami dapat merehatkan pemain utama dan memberi peluang kepada pemain B-23 tahun seperti dalam perlawanan ini kerana ianya penting untuk masa depan kelab.
“Jika anda lihat, pada satu ketika, barisan belakang kami dibarisi pemain muda seperti Rahadiazli, Ubaidillah, Azam Azmi dan Safwan Mazlan yang mana mereka adalah pemain utama dalam skuad B-23 tahun kebangsaan,” katanya.
Dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras itu tiga gol daripada Ivan Mamut dan satu daripada Engku Shakir sudah cukup untuk memberikan kelebihan selesa buat Terengganu yang kini sudah selangkah menuju ke peringkat suku akhir.