PEMAIN sayap berpengalaman, Norhakim Hassan akan menjadi taruhan Terengganu FC (TFC) ketika berkunjung ke Cheras bagi aksi bertemu KL City FC, malam esok.
Menurut pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner, tonggak berusia 32 tahun itu akan membuat penampilan sulung sejak menyertai Sang Penyu daripada Selangor.
“Saya mengenali Norhakim sejak 2015 ketika bersama T-Team namun itu lapan tahun lalu. Corak permainannya sudah banyak meningkat dan turut bergelar pemain kebangsan tahun lalu.
“Kelibatnya diharap dapat menyuntik sengat di jentera serangan dan sayap terutama selepas kami kehilangan Syafik Ismail akibat kecederaan ligamen (ACL) di posisi itu.
“Untuk bertemu KL City, Norhakim akan beraksi dan kami juga kembali diperkuat Argzim Redzovic dan Ivan Mamut yang digantung perlawanan sebelum ini,” katanya kepada FLASH SUKAN, semalam.
Sementara itu, Norhakim turut mengakui tidak sabar untuk membantu negeri kelahirannya membaiki kedudukan dalam liga yang kini mengumpul 23 mata di tempat keenam.
Katanya, dia mahu membuktikan sentuhannya masih berbisa selepas kali terakhir berbakti untuk Terengganu lapan tahun lalu sebelum berhijrah ke Perak dan Selangor.
“Saya sudah dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan TFC kerana sudah menjalani latihan bersama rakan-sepasukan sejak sebulan yang lalu.
“Apa yang diharapkan kami dapat membalas dendam kekalahan dalam separuh akhir Piala FA, minggu lalu, dan lebih manis jika dapat menjaringkan gol atau memberikan impak,” jelasnya.